SHAH ALAM - Penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup pada 2014, dilihat masih kurang memberikan apa-apa impak positif kepada rakyat.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pelaksanaan GST, subsidi harga minyak runcit dan sebagainya adalah antara teras yang menyumbang kepada perkembangan ini tetapi seringkali terlepas pandang oleh pihak kerajaan.

"Justeru, kerajaan sewajarnya melakukan pendekatan yang lebih berobjektif dalam mengatasi isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pelaksanaan 'Outcome Based Budgetting System' sepatutnya dijadikan suatu pendekatan yang lebih strategik mengkaji keberkesanan sesuatu program dan peruntukan yang dibelanjakan.

"Bukan lagi peruntukan yang besar tetapi tiada kawalan terhadap keberkesanannya  Ini juga perlu diteliti sebaiknya," katanya.

Katanya, selain soal polisi atau program, ketepatan mengeluarkan data yang lebih realisitik juga penting untuk diperhatikan.

"Persoalan yang perlu kepada pemerhatian bersama ialah, adakah data inflasi yag digunapakai hari ini mencerminkan inflasi sebenar yang dirasai rakyat ?.

"Hubungan "cause and effect" ini turut memainkan peranan yang penting supaya polisi atau program dapat digerakkan secara tuntas," katanya.

Justeru tegasnya, menangani isu kos sara hidup yang tinggi perlu digembleng sedalamnya oleh pihak kerajaan.

"Saya berpendirian, jika faktor-faktor teras yang menyumbang kepada kenaikan harga barang tidak ditangani, maka hasilnya sudah pasti tidak akan memuaskan dan  tentu sahaja membebankan rakyat terbanyak," katanya.