KUALA TERENGGANU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyarankan agar persatuan-persatuan yang didaftarkan dengan pelbagai nama tetapi melakukan aktiviti hampir sama di gabungkan.   

Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu bagi memudahkan segala urusan termasuk peruntukan mahupun bantuan kewangan disalurkan kepada persatuan yang berkenaan.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua pemimpin persatuan permotoran yang pelbagai di seluruh negara.  Sanggup mengabungkan persatuan di bawah satu naugan tetapi pada masa yang sama masih meneruskan objektif pertubuhan masing-masing.

“Melalui gabungan Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM) yang melibatkan semua persatuan permotoran besar, sederhana dan kapcai (kecil) akan melibatkan sekurang-kurangnya seamai 2 juta ahli.

“Dan merupakan gabungan persatuan terbesar di Malaysia dan harus dicontohi oleh persatuan-persatuan lain,” katanya semasa hadir merasmikan Karnival Pertubuhan Kebangsaan 2017 kali keempat di Dataran Batu Burok, di sini petang tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan juga Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohamad Razin Abdullah.

Sementara itu, beliau juga ada menyuarakan pandangan kepada Perdana Menteri agar pada penyediaan belanjawan 2018 kelak agar turut mengambil kira kepentingan peminat motosikal berkuasa tinggi itu di negara ini.

“Saya berbisik dengan  Perdana Menteri dalam penyediaan bajet (bajet 2018) yang akan datang  akan dibentangkan pada 27 Oktober ini,  tolonglah, ambil kepedulian kepada peminat motor-motor kerana cukai terlalu tinggi.

“Ini bukan kepentingan peribadi, tetapi kepentingan dua juta ahli-ahli dalam GPPM. Mudah-mudah ada belas kasihan Perdana Menteri untuk mengurangkan cukai kepada motor- motor ini,” katanya yang juga merupakan peminat motor berkuasa tinggi itu. 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui semua 10 jabatan dan agensi dibawahnya tidak pernah memilih dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.
  • PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap 22 penerbitan bertarikh 28 September dan 3 Oktober lepas, kata Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.
  • JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan semua kerajaan negeri supaya memperbanyakkan mesej berkenaan penyalahgunaan dadah dalam khutbah Jumaat.
  • JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri akan menggubal satu akta baharu berkaitan kamera litar tertutup (CCTV), tahun depan.