SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berasa pelik dengan dakwaan pemimpin PH sebelum PRU14 yang menyatakan ‘Najib turun, ringgit akan naik’.

Najib berkata, apa yang menyebabkan beliau berasa demikian berikutan beliau sudah pun ‘turun’ empat bulan tetapi ringgit semakin turun juga.

Menurutnya, beliau berharap agar kerajaan PH akan mengambil kira kerisauannya mengenai nilai ringgit sekarang sebelum ia memudaratkan.

“Kebelakangan ini, saya ada sedikit kerisauan tentang nilai ringgit… secara am, ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik dan sebaliknya tetapi selepas PRU14 keadaannya agak menggusarkan.

“Trend ini sudah bercanggah. Walaupun harga minyak dulu semakin kuat sehingga AS$78 satu tong sekarang, ringgit tidak mengukuh tetapi tetap turun 30sen sehingga RM4.15 sekarang,” kongsinya di laman sosial Facebook peribadinya, pagi tadi.

Najib berkata, antara serangan terhadap beliau sebelum PRU14 adalah berkaitan nilai matawang ringgit.

Menurutnya, PH berulangkali sebut nilai ringgit lemah pada tahun sebelum ini adalah bukti Malaysia sudah mula bankrap.

“Naik turun ringgit banyak bergantung kepada harga minyak dunia. Secara am, ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik dan sebaliknya.

“Ketika saya baru menjadi menteri kewangan, ringgit juga lemah akibat krisis ekonomi dunia pada masa itu. Pada masa itu ringgit turun sehingga RM3.75 berbanding dolar AS dan Tun Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) menggesa saya untuk tambatkan ringgit seperti yang beliau lakukan pada tahun 1998.

”Saya tak ambil langkah itu selepas ambil kira dan melihat pelaburan asing dan daya saing eksport negara turun ketika ringgit ditambat Tun Mahathir pada 1998,” katanya.

Menurutnya, lanjutan itu, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2000 hingga Tun Mahathir bersara pada akhir 2003, kurang baik.

“Saya tidak membuat demikian untuk menambatkan ringgit pada masa tahun 2008/2009,” katanya.

Najib berkata, kenaikan harga minyak dunia dan pemulihan ekonomi hasil pakej ransangan ekonomi terbesar dalam sejarah negara, ringgit mengukuh sehingga di bawah paras RM3.00 berbanding dolar AS pada 2010 hingga 2013, iaitu sebanyak 30 peratus.

“Pakej ransangan ekonomi ini juga menaikkan hutang negara dan turut dibidas biarpun langkah itu berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia.

“Tak pernah dalam sejarah Malaysia, matawang ringgit mengukuh setinggi itu namun jika diimbau kembali, saya tidak pun memuji diri sendiri lantaran ringgit yang kukuh kerana harga minyak mentah tinggi pada masa itu dan bukan semua berpunca dari usaha kerajaan BN dan saya,” katanya.

Menurutnya, pakej ransangan yang dilaksanakan selari dengan kenaikan harga minyak berjaya selamatkan ekonomi negara dari terjerumus dari kemeseletan.

“Peliknya, pada PRU13, PH mendakwa Malaysia akan bankrap biarpun ringgit mengukuh di bawah RM3.00 pada masa itu dan pada PRU14, PH turut membuat tuduhan yang sama pada ketika nilai ringgit lebih rendah berbanding PRU13.

“Apabila harga minyak dunia turun dengan teruk pada akhir 2014, nilai ringgit juga turun dengan banyak,” katanya.

Pada masa itu, Najib berkata, beliau sekali lagi menerima tekanan politik yang hebat dan sebagai ahli politik, langkah paling mudah ialah menambat ringgit sebagaimana dilakukan Tun Mahathir sebelum ini apabila ringgit pernah jatuh sehingga RM4.85 pada permulaan tahun 1998.

“Saya juga perhatikan bahawa banyak negara lain pada masa itu seperti Czech, Nigeria, Switzerland, Uzbekistan, Azerbaijan, Kazakhstan, Angola dan Morocco juga telah menolak sistem penambatan matawang kerana mereka mahu meningkatkan daya saing ekonomi masing-masing.

“Tetapi sebagai perdana menteri (ketika itu) yang utamakan kekuatan jangka panjang ekonomi dan masa depan negara, saya tidak ambil langkah itu kerana keputusan berdasarkan politik jangka pendek yang tidak betul akan memberi kesan negatif jangka panjang yang teruk kepada negara,” katanya.

Bagaimanapun menurut Najib, beliau sekali lagi dikecam dan walaupun dikecam teruk beliau memilih sekali lagi untuk tidak menambat ringgit.

“Keputusan saya terbukti betul apabila eksport negara melonjak naik berpuluh peratus setiap bulan dan pertumbuhan ekonomi sangat kukuh pada tahun 2017 sehingga awal tahun 2018.

“Ringgit pula mula memulih dan menguat sehingga tahap RM3.85 pada bulan April 2018 sebelum pilihanraya,” katanya.

Menurutnya, hakikatnya, tempoh beliau sebagai menteri kewangan dan perdana menteri sehingga berhenti menyaksikan ringgit turun dari sekitar RM3.75 ke RM3.85 (tidak ditambat) dan beliau dianggap telah gagal oleh segelintir rakyat Malaysia.

“PM yang ke-4 pula dikatakan berjaya apabila ringgit menyusut dari RM2.20 berbanding dolar AS kepada RM3.80 (ditambat) dari mula dia mentadbir sehingga tamat pada akhir tahun 2003,” katanya.