KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani diingatkan agar tidak mencampuri hal ehwal Islam sebaliknya menjalankan tanggungjawabnya menyelesaikan masalah rakyat di kawasan itu.

Pemuda Umno Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail dalam kenyataannya menggesa Kasthuriraani memohon maaf dan menarik balik kenyataan di Parlimen yang didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Fokuslah kepada kawasan Batu Kawan yang mempunyai banyak masalah belum selesai seperti masalah kebajikan rakyat, banjir dan insfrastuktur yang tidak memuaskan walaupun sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen," katanya.

Menurutnya, Kasthuriraani tidak layak bercakap mengenai Islam kerana dangkal dan tidak memahaminya.

"Sepatutnya sebelum bercakap perlulah dirujuk kepada mereka yang lebih mengetahui terhadap konsep agama dan fahaman yang ingin dibentangkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merasakan kekesalan terhadap Kasthuriraani walaupun ditegur beberapa kalinoleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Sedihnya teguran tersebut tidak diendahkan.

"Pemuda Umno Nibong Tebal merasa terpanggil atas tanggungjawab sebagai orang Islam dan warga Pulau Pinang terhadap kenyataan yang cukup memalukan," katanya.