TINGGAL empat hari lagi Karnival Karangkraf x SifuFBads #BetulBe-tulRaya 2018 bakal kembali dengan menyajikan pelbagai tawaran menarik buat pengunjung.

Berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Jun depan di pekarangan Kumpulan Media Karangkraf, setiap jam padat dengan pengisian menarik.

Istimewanya karnival kali ini, ia dilangsungkan pada bulan Ramadan dengan tema #BetulBetulRaya.

Penyelaras Karnival Karangkraf 2018, Charl Fitri berkata, lebih 100 gerai jualan akan dibuka dengan pelbagai jenama dan koleksi.

“Sepanjang tiga hari karnival, pengunjung bukan saja dapat membeli-belah di Karangkraf, malah berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti menarik.

“Antaranya ialah Sifufbads Mini Seminar, Talkshow Santai bersama Team Buat Hal dan Cocombee, Visual Viral 1.0 bersama Caprice dan King Afiq, sesi Meet & Greet bersama artis-artis Astro, Tazkirah Malam Jumaat dan banyak lagi," katanya.

Menurutnya, terdapat program dan seminar keagamaan turut memenuhi jadual karnival, antaranya Tadabbur dan Tazakkur World #QuranHour, ceramah, solat tarawih dan pelbagai pengisian lain.  

“Paling istimewa kali ini adalah kita adakan majlis berbuka puasa ala Madinah sempena Ramadan selama tiga hari.

“Juadah berbuka akan disediakan percuma dengan konsep infak dan ia terbuka kepada semua mereka yang hadir. Kemudian kita akan sama-sama bertarawih di Masjid Karangkraf." katanya.

Karnival Karangkraf x SifuFBads #BetulBetulRaya 2018 akan bermula dari jam 2 petang sehingga 2 pagi. Bagaimanapun aktiviti seperti seminar perniagaan dan keagamaan akan bermula seawal jam 10 pagi.  

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.karangkraf.com atau terus ke Facebook rasmi KarnivalKarangkraf.