KUALA TERENGGANU - Pembinaan kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) cawangan Besut yang kini masih dalam pembinaan dijangka beroperasi menjelang Jun 2013.

Naib Canselor UniSZA, Datuk Profesor Dr Alias Daud berkata kampus yang menelan belanja RM270 juta itu kini telah hampir 50 peratus siap, bakal menempatkan kira-kira 1,000 pelajar daripada empat fakulti.

"Apabila siap kelak, kesemua pelajar empat fakulti ini akan berpindah ke kampus Unisza cawangan Besut," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian kad diskaun Siswa 1Malaysia di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Empat fakulti tersebut yang bakal dipindahkan ke kampus cawangan ialah Fakulti Pertanian dan Bioteknologi, Fakulti Teknologi Makanan, Fakulti Sains Haiwan dan Fakulti Teknologi Maklumat.

Pembinaan kampus baharu itu adalah sebahagian usaha universiti berkenaan menaik taraf kemudahan untuk warganya.

Jelasnya sehingga kini UniSZA mempunyai pengambilan seramai 6,774 pelajar dan ia adalah peningkatan mendadak berbanding hanya 4,000 pelajar sekitar enam tahun lalu.

Dr Alias berkata sehingga kini RM400 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur di universiti berkenaan dan pihaknya juga sedang membina sebuah dewan baharu untuk menampung pelajar yang semakin ramai.

"Dewan yang lama pula akan dinaik taraf dengan melakukan sedikit ubah suai di bahagian dalaman.

"Kemudahan asrama di universiti juga tidak mencukupi kerana hanya mampu menampung 5,000 pelajar manakala baki seramai 1,774 terpaksa menyewa rumah dan bilik di sekitar Gong Badak," katanya.

Sehubungan itu, UniSZA akan meminta satu peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk menambah bangunan asrama bagi kemudahan pelajar di kampus Gong Badak.- Bernama