• Dua penduduk kampung menadah tangan berdoa di depan rumah mereka yang musnah terbakar ketika dibawa meninjau kerosakan harta benda di kampung tersebut. Dua penduduk kampung menadah tangan berdoa di depan rumah mereka yang musnah terbakar ketika dibawa meninjau kerosakan harta benda di kampung tersebut.
  • Sebuah banglo dan kenderaan milik penduduk Kampung Tanjung Batu turut musnah akibat pertempuran baru-baru ini. Sebuah banglo dan kenderaan milik penduduk Kampung Tanjung Batu turut musnah akibat pertempuran baru-baru ini.
  • Salah sebuah rumah penduduk yang musnah terbakar akibat pertempuran antara kumpulan pengganas dan pasukan keselamatan dalam Op Daulat. Salah sebuah rumah penduduk yang musnah terbakar akibat pertempuran antara kumpulan pengganas dan pasukan keselamatan dalam Op Daulat.
1 /

LAHAD DATU - Selepas 24 hari Op Daulat dilancarkan untuk memusnahkan kedudukan militan Kiram, akhirnya penduduk Kampung Tanjung Batu dibenarkan memasuki kawasan tersebut sambil ditemani oleh pasukan keselamatan.

Kedatangan penduduk ke kampung ini bertujuan untuk menilai tahap kerosakan yang dialami, namun beberapa kawasan kampung tersebut belum boleh dimasuki kerana masih berada dalam Zon Merah.

Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang, 72, berkata, dia berasa amat sedih apabila melihat kehancuran kampung yang didiaminya sejak tahun 1959 lagi.

Katanya, perasaan marah penduduk terhadap militan Kiram begitu meluap-luap kerana segala usaha dikerjakan selama ini musnah sekelip mata.

“Hari ini pertama kali saya menjejakkan kaki di Kampung Tanjung Batu sejak pencerobohan bermula, saya rasa amat sedih dan marah.

“Dari 107 buah rumah, 70 peratus daripadanya musnah sama sekali dan semuanya ada kesan tembakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mahmud yang memiliki dua buah rumah di sini berkata, kedua-dua rumahnya hancur, malah tiga kenderaannya turut rentung kesan daripada pertempuran yang meletus di kawasan tersebut.

“Kami sudah tiada apa-apa lagi. Kami kerugian ratusan ribu ringgit, namun kami reda dan yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan dan kerajaan dalam menangani isu ini,” katanya.

Ditanya sama ada penduduk Kampung Tanjung Batu bersedia dipindahkan di kawasan baru seperti penduduk Kampung Tanduo, Mahmud berkata, penduduk mahu terus tinggal di kawasan tersebut.

“Apa pun, kami tetap mengikut arahan kerajaan.  Jika dibenarkan tinggal maka kami tinggal, jika tidak kami akan ikut (arahan kerajaan),” katanya.

Seorang lagi penduduk, John Dulahab, 62, berkata, rumahnya turut musnah namun tetap bersyukur kerana semua keluarganya selamat.

“Walaupun segalanya musnah, kami masih mahu tinggal di sini. Di kampung inilah tempat kami lahir, membesar dan kami mahu hembuskan nafas terakhir di sini,” katanya.

Menyelusuri Kampung Tanjung Batu, deretan rumah penuh dengan kesan tembakan dan bom, kesan daripada kekuatan ketenteraan negara dalam menghapuskan militan Kiram yang berkubu di kampung tersebut.

Malah, kelongsong peluru dan serpihan bom memenuhi setiap kiri kanan jalan menggerunkan perasaan sesiapa saja yang memasuki kampung itu.

Ketua Masyarakat Tanjung Labian, Assafal Alian, 43, berkata, dia tidak sabar untuk melihat pencerobohan ini berakhir dan militan Kiram dihalau terus dari bumi Sabah.

“Kami hilang punca pendapatan kerana pencerobohan ini. Kami tidak akan memaafkan mereka. Tanah Sabah aman, tetapi kehadiran mereka menukar segalanya,” katanya.

Kampung Tanjung Batu menjadi lokasi pertempuran pasukan keselamatan negara sejak 7 Mac lalu apabila beberapa militan Kiram berjaya meloloskan diri dari kepungan di Kampung Tanduo.

Sementara itu, Pejabat Daerah Lahad Datu berhasrat mahu menjadikan Kampung Tanduo pusat pelancongan bersejarah baru pada masa depan ekoran pencerobohan militan Kiram.

Pegawainya, Zulkifli Nasir berkata, insiden berdarah di Lahad Datu seharusnya dikenang buat selama-lamanya kerana isu ini melibatkan seluruh rakyat Sabah khususnya dan Malaysia amnya.

“Ini cadangan kami, kami mahu bina satu monumen di Kampung Tanduo bagi memperingati insiden ini.

“Kami juga berhasrat supaya kawasan kampung ini dijadikan kawasan pelancongan yang baru selain menjadi pusat sejarah negeri,” katanya.

Ditanya mengenai tempoh masa diperlukan bagi mengetahui kerosakan yang dialami Kampung Tanjung Batu, Zulkifli menegaskan masa yang diperlukan kira-kira tiga minggu lagi.

Katanya, penduduk kampung hanya dibenarkan masuk dan mendiami semula rumah mereka apabila pihak polis memberi lampu hijau.

Mengulas mengenai kemungkinan penduduk Kampung Tanjung Batu turut diberikan kawasan penempatan semula, Zulkifli berkata, ia adalah cadangan yang baik.

“Konsep yang akan digunakan adalah mini estet, di mana penduduk akan diberikan kawasan yang teratur dan senang dipantau.

“Ia juga memberi keselesaan kepada penduduk nanti,” katanya.