PALU - "Tanah lumpur yang naik dari dalam bumi yang telah menimbus kawasan kampung Petobo, alhamdulillah sedikitpun tidak 'menyentuh' hospital bersalin dan kanak-kanak,".

Demikian menurut penduduk tempatan Asnani Saula, 48, tatkala berkongsi mengenai kejadian gempa bumi yang disusuli tsunami yang melanda Petobo pada 28 September lalu.

Katanya, kejadian yang menimpa sangat dahsyat sehingga tak dapat dibayangkan kejadiannya.

"Ya ALLAH, kejadian seperti ini tidak pernah terjadi, dimana sebuah kampung ditimbus oleh tanah lumpur yang naik daripada perut bumi.

"Tidak boleh saya imiginasikan, tapi dengan kuasaNYA 'rumah sakit' yang berada hampir dengan kawasan kampung itu sedikitpun tidak terkena kesannya, ia hanya 'menimbus' kampung tapi tidak 'menyentuh' hospital berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dalam kejadian itu ribuan orang meninggal dunia dan sehingga kini masih banyak mayat yang tidak dapat dikeluarkan kerana tanah lumpur yang menimbus.

"Ia seolah-olah menjadi tapak kubur besar-besaran," katanya.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati keadaan kampung Petobo sudah 100 peratus tertimbus, di fahamkan Petobo ditimbus hampir 20 meter oleh tanah lumpur.

Jadi kunjungan Sinar Harian di sini, 'disambut' dengan bau yang begitu kuat menusuk rentetan ribuan mayat yang tenggelam di dalamnya.

Kongsinya lagi, pagi itu sekitar jam 11 pagi dia difahamkan sahabatnya melahirkan bayi di hospital berkenaan.

Hospital bersalin dan kanak-kanak yang tidak mengelami sebarang kerosakan meskipun jarak antara pintu masuk Kampung Petobo dan hospital itu hanya berjarakkan tebing.

"Alhamdulillah ALLAH selamatkan mereka semua," katanya.

Dalam pada itu katanya, dalam kejadian itu masih ada yang terselamat.

"Antaranya seorang wanita yang ditemui masih selamat selepas 11 hari berlindung di sebuah rumah yang hampir ditenggelami lumpur," katanya yang memberitahu bahawa jeritan lemah suara wanita itu yang didengari oleh tentera telah berjaya menyelamatkannya.

Sementara itu menurut beberapa penduduk lain yang ditemui Sinar Harian ketika berkongsi kejadian yang berlaku di Petobo berkata tanah lumpur yang dikeluar dari perut bumi itu boleh diandaikan seperti 'simen'.

"Ianya seperti simen bila keluar ia 'memutar' semua benda menjadi satu," kata Ahmad Dimyati kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sinar Harian, NGO Serantau Muslim gerak misi bantuan ke Palu]

Sinar Harian kini bersama NGO Serantau Muslim menggerakkan misi bantuan  kemanusiaan ke kota Palu, Sulawesi Indonesia.

Misi bantuan yang berangkat pada Jumaat lalu akan berada di Palu sehingga 20 Oktober untuk menghulurkan bantuan.

Kota Palu yang digegarkan dengan gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda bandar iu, pada 28 September lalu telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban.

Difahamkan di sebahagian Kota Palu memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi penghuninya selepas kejadian berkenaan.

Jadi sekiranya orang ramai yang ingin turut membantu sumbangan  boleh disalurkan ke akaun Maybank 564276529068 Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gempa 7.7 magnitud landa Sulawesi, seorang maut, 10 cedera]

[ARTIKEL BERKAITAN: Palu dilanda tsunami selepas gempa kuat]

[ARTIKEL BERKAITAN: Upacara ritual Balia punca turunnya bencana?]