ALOR GAJAH - Corak pembangunan yang berlainan dan lebih berdaya saing dalam pelbagai aspek perlu dibangunkan untuk kampung-kampung baru  bagi terus mengekalkannya pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bukan sahaja untuk menarik minat golongan belia untuk terus menetap di kampung baru malah mengekalkan kewujudan kawasan berkenaan daripada ditelan arus pemodenan.

Beliau berkata, antara pendekatan yang perlu diberi perhatian dalam membangunkan kampung baru termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang mampu menarik minat generasi muda untuk bersama membangunkan kawasan berkenaan dengan lebih maju lagi.

“Kebanyakan masyarakat di kampung baru khuatir atau prihatin tentang beberapa aspek khususnya dari segi pembangunan ekonomi dan kebanyakan mereka mengharapkan kerajaan membuat persediaan yang lebih awal untuk berdepan dengan cabaran hidup masa hadapan.

“Kita perlu menjamin kesinambungan dari segi pembangunan khususnya bagi kelangsungan kampung baru kerana ia telah melalui satu jangka masa yang agak panjang kira-kira enam dekad dan sudah banyak perubahan termasuk proses urbanisasi yang agak pantas sehinggakan ada antara kampung berkenaan telah menjadi bandar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 bersama Komuniti Kampung Baru yang bertemakan 'Kampung Baru Menjelang 2050, Ke Mana Hala Tuju Kita' yang dihadiri kira-kira 400 penduduk Machap Baru.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan tanah terbiar bagi sektor pertanian menggunakan teknologi moden merupakan antara inisiatif yang boleh dilaksanakan kerana bidang tersebut dapat memberi pulangan yang baik serta menjana ekonomi bagi golongan muda.

Katanya pembangunan sektor pertanian di kampung baru juga dapat membantu meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan yang boleh memberi kesan ekonomi kepada negara.

Ka Siong berkata selain itu, satu saluran yang lebih efektif diperlukan bagi membantu masyarakat atau komuniti kampung baru memasarkan produk keluaran mereka agar ia dapat dipasarkan secara lebih meluas.

Beliau berkata, langkah itu juga dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarkat kampung berkenaan selain mengembangkan perniagaan daripada di peringkat komuniti hingga ke peringkat global.

“Usaha ini juga perlu dilakukan tanpa campur tangan atau penglibatan orang tengah agar produk berkenaan dapat dipasarkan secara terus dan keuntungan yang diperolehi lebih baik,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pembangunan semula Kampung Baru mengekalkan ‘roh’ keislaman dan kemelayuan kampung itu yang wujud sejak 113 tahun lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.