SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membalas komen Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai isu kuih pau dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, Guan Eng menyatakan cukai SST enam peratus bagi pau yang dibeli Najib sama seperti enam peratus yang dikenakan ketika pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Beliau mempersoalkan, sekiranya sistem kutipan cukai sekarang sama seperti sebelum ini, mengapa GST ditukar dengan SST sedangkan harga barang tidak turun.

"Semalam Guan Eng berang dan kata saya tak jujur. Dia kata makanan pau pun kena enam peratus GST dulu sama seperti enam peratus SST sekarang. Dia suka marah saya. Dia demam.

"Bukankah Guan Eng pernah kata beberapa kali bahawa cukai SST hanya dikenakan pada pengilang sahaja dan bukan pengguna. Saya bukan pengilang, mengapa saya kena cukai 6 peratus pula?" soalnya dalam satu catatan di Facebooknya, hari ini.

Guan Eng dalam sidang media semalam meminta Najib berhenti menjadi wira dalam isu pelaksanaan SST.

Menurutnya, kenyataan Najib berhubung isu SST dikenakan ke atas pemilik kedai pau di Tanjung Malim, perak disifatkan penuh kepura-puraan dan seolah-olah cuba memperdayakan tahap ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Najib berkata, menerusi GST, peniaga yang mengelak daripada cukai dan ekonomi gelap tidak dapat lari dari tetapi Bantuan Rakyat 1Malaysia semakin naik, bantuan lain semakin naik, gaji dan bonus pejawat awam semakin naik.

"Dengan SST, BR1M semaikin turun sehingga dimansuhkan, bantuan lain disekat, gaji dan bonus penjawat awam tak naik atau dibatalkan," katanya.

Najib dalam pada itu turut berkata, jika Guan Eng memeriksa resit daripada kedai pau tersebut, minuman yang dibelinya pun dikenakan cukai enam peratus.

"Saya minum ice lemon tea di sana. Mengikut jadual SST yang terbaru, cukai jualan ke atas ice lemon tea ialah 10 peratus, bermakna apabila kedai itu beli ice lemon tea dari pengilang, cukai 10 peratus sudah termasuk secara tersembunyi dalam harganya.

"Bermakna dengan tambahan enam peratus dikenakan kedai itu, saya membayar 10 campur enam peratus cukai, lebih tinggi dari GST enam peratus," katanya.