KUALA LUMPUR - Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 yang dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen pada hari ini, dijangka tidak hanya memperincikan pencapaian pelan pembangunan itu dalam tempoh terbabit tetapi turut menggariskan keutamaan kerajaan baharu bagi mengemudi kemajuan Malaysia.

Malah, pakar ekonomi berpendapat, antara perkara utama yang diberi tumpuan adalah aspek penjajaran semula matlamat dan objektif awal yang dicapai dalam tempoh dua setengah tahun lepas.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Dr Kamarudin Nor berkata pihaknya mengunjurkan trajektori pertumbuhan tempoh berbaki RMK11 yang lebih rendah berikutan ketidaktentuan di peringkat luaran selain pertumbuhan global yang lebih menyederhana.

“Kajian Separuh Penggal itu turut memberi peluang kepada kerajaan untuk meneruskan dan mengutamakan bidang tumpuan seperti mempelbagaikan sumber pendapatan, pengoptimuman perbelanjaan serta pengurusan hutang secara cekap,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sambil mengakui langkah menseimbangkan keperluan meneruskan objektif pertumbuhan dan disiplin fiskal sebagai sukar namun penting, beliau menjelaskan, kajian itu turut memberi peluang kepada kerajaan untuk menumpukan aspek pembaharuan institusi serta struktur.

Sementara itu, menyentuh perspektif pasaran saham, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan menyifatkan Kajian Separuh Penggal RMK11 itu sebagai pemangkin yang mampu merangsang keyakinan para pelabur, khususnya pelabur asing.

“Kami menjangkakan akan ada dasar serta insentif baharu, khsususnya dalam usaha melonjakkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi memastikan Malaysia terus kekal menarik sebagai destinasi pelaburan global.

"Pada masa sama, kami turut menjangkakan perubahan dasar kerajaan terdahulu, Barisan Nasional yang lebih menumpukan kepada industri berintensif buruh serta pembangunan projek-projek mega,” katanya.

Sehubungan itu, Nazri Khan berpendapat, kerajaan baharu ini akan memasukkan beberapa elemen manifesto Pakatan Harapan ke dalam RMK11 berkenaan seperti industri teknologi tinggi dan kurang berintensifkan buruh.

“Bagi saya, tumpuan itu lebih kepada industri berintensifkan mesin dan modal manakala sektor teknologi tinggi, inovatif dan berasaskan pengetahuan diberi keutamaan,” katanya.

Malah, kerajaan baharu itu juga dijangka mengumumkan lebih banyak dasar bagi menangani peningkatan kos sara hidup serta kadar pengangguran.

Bagi kemajuan masa depan, Nazri Khan berkata, lebih banyak pengecualian cukai khas bagi industri berkaitan pelaburan, khususnya untuk pelabur asing berkemungkinan besar akan turut diperkenalkan.

"Insentif sedemikian diharapkan dapat menampung peningkatan aliran keluar dana asing sejak enam bulan lepas,” katanya.

RMK11 yang dilancarkan pada 21 Mei 2015, merupakan pelan pembangunan lima tahun Malaysia dalam usaha mencapai sasaran Wawasan 2020.

Ia digubal berdasarkan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) dengan tumpuan kepada pembangunan ekonomi berpaksikan rakyat dan modal menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Bersandarkan prinsip yang meletakkan rakyat sebagai paksi dan keutamaan, RMK11 juga bermatlamat menyediakan kesejahteraan dan kemakmuran bagi merealisasikan Wawasan 2020 serta mencapai pembangunan penuh di Malaysia.

Produktiviti dan inovasi merupakan asas pelan pembangunan itu berdasarkan enam teras strategik iaitu inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama, meningkatkan kesejahteraan rakyat, meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju, menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan daya saing, memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pembangunan ekonomi serta memperkasa pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan kemakmuran. - Bernama