KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan perlu mencari alternatif mengurangkan kandungan sukatan subjek teras terutamanya bagi sekolah rendah yang dilihat menjadi punca murid dibebani dengan lebihan buku.

Jurulatih Utama Kebangsaan Sarana Sekolah dan Sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Amiruddin Sahudi berpendapat sukatan subjek teras perlu berfokus dan ditekankan dengan kemahiran pengetahuan asas sahaja.

"Di sekolah rendah, kandungan subjek teras seperti sains, matematik yang ada sekarang terlalu   banyak untuk dikuasai pada peringkat kanak-kanakā€¦ini belum subjek lain seperti pendidikan muzik, agama.

"Apabila kandungan sukatan sesuatu subjek itu banyak, maka akan ada buku latihan tambahan yang terpaksa diguna murid. Guru pula berusaha mengejar waktu untuk menghabiskan sukatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Langkah kurangkan beban murid ke sekolah akan diambil]

Satu alternatif lain, Amiruddin mencadangkan setiap sekolah menyediakan lokar bagi membolehkan pelajar menyimpan buku yang tidak perlu dibawa pulang ke rumah seperti buku teks.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta sekolah supaya jangan membebani murid dengan penggunaan buku kerja dan buku latihan yang terpaksa dibeli dari luar kerana penggunaan buku teks sudah memadai.

Beliau berkata dalam usia antara tujuh hingga 12 tahun, murid perlu diberi peluang untuk merasai keseronokan alam persekolahan dan tidak terlalu diberi penekanan akademik semata-mata.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata isu buku berlebihan dan beg berat ini berlarutan kerana terdapat sebilangan sekolah yang tidak mematuhi arahan Surat Pekeliling Ikhtisas 10/1993 Penggunaan Buku Kerja di Sekolah Rendah

"Kementerian mesti tegas menguatkuasakan pekeliling sedia ada melalui Pejabat Pendidikan Daerah. Mana-mana pengetua atau guru besar sekolah yang ingkar mematuhi peraturan itu mesti diambil tindakan tatatertib selain kementerian juga perlu meningkatkan penguatkuasaan terhadap pekeliling itu dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama melalui WhatsApp hari ini.

Antara peraturan surat pekeliling itu ialah guru tidak dibenarkan menggunakan buku kerja semasa waktu mengajar di dalam kelas dan melarang sama sekali penjualan buku kerja oleh jurujual di sekolah bagi mempromosi penggunaan buku kerja mereka.

Kamarozaman berkata penggunaan buku kerja dan buku tambahan secara meluas di sekolah turut menimbulkan implikasi kewangan kepada ibu bapa. - Bernama