PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  mencadangkan hukuman buang sekolah digantikan dengan kelas pemulihan atau peralihan untuk pelajar bermasalah yang diisi dengan aktiviti yang boleh membimbing semula mereka.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyarankan Kementerian Pendidikan menimbang  semula hukuman buang sekolah itu memandangkan kebanyakan pelajar yang dibuang sekolah lebih terdedah untuk bergaul dengan golongan yang salah dan terlibat dengan jenayah.

Merujuk kepada kes  kebakaran yang meragut 23 pelajar dan guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, beliau berkata tujuh remaja yang ditahan  sebagai suspek kes tersebut merupakan remaja yang telah dibuang sekolah.

"Jelas di sini adalah, adakah hukuman buang sekolah adalah yang terbaik kepada remaja yang bermasalah,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

"Oleh itu, peranan guru kaunseling adalah amat penting untuk mengambil alih tanggungjawab bagi membentuk mereka agar dapat kembali semula ke alam persekolahan,” katanya.

Rohani berkata hukuman buang sekolah dilihat seperti menafikan hak kanak-kanak atau remaja  bagi mendapatkan pendidikan asas.

Beliau berkata kebanyakan ibu bapa mungkin tidak mengetahui bahawa anak mereka telah dibuang sekolah kerana pelajar terbabit bersiap seperti biasa ke sekolah.

"Mereka mungkin tidak berani untuk menyerahkan surat buang sekolah itu kepada ibu bapa dan berpura-pura pergi ke sekolah seperti biasa, walhal telah pergi ke tempat lain dan bergaul dengan mereka yang bermasalah,” katanya.

Rohani berkara perkara itu telah dibawa ke mesyuarat Kabinet dan berharap Kementerian Pendidikan dapat memberi perhatian terhadap saranan tersebut untuk dibincang secara lanjut.

"Malah semua kementerian telah diarahkan untuk mencadangkan program intervensi untuk mengatasi masalah sosial yang berlaku sekarang ini,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah cadangan memansuhkan hukuman buang sekolah terhadap pelajar bermasalah di negara ini, seperti dicadangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
  • KEPALA BATAS - Kementerian Pendidikan memandang serius mengenai masalah buli namun pada masa sama, tindakan buang sekolah terhadap pesalah buli bukan bermakna seseorang pesalah buli itu terus dibuang daripada sistem pendidikan.