SINGAPURA - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan kajian  terhadap  cadangan  Kerajaan Malaysia dan Singapura untuk mengenakan kadar tol lebih menarik di Lebuhraya  Linkedua (LinKedua) terutama pada waktu bukan puncak bagi  menggalakkan lebih ramai menggunakan laluan alternatif itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata cadangan itu dikemukakan dan dipersetujui oleh  Perdana Menteri Datuk  Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada sesi  Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelapan yang berlangsung di Istana, di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan itu merupakan salah satu pendekatan jangka pendek yang ingin diambil oleh  kedua-dua kerajaan bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor  sementara  menunggu projek  Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap pada tahun 2024.

“Kita nak lihat (mungkin) pada waktu bukan puncak, kita boleh kurangkan tol (sekali gus) galakkan orang menggunakan LinKedua dengan harga tol yang lebih rendah kerana pada waktu puncak memang sesak, kadang-kadang dua tiga jam sesak,” kata beliau ketika ditemui pemberita di luar sesi minum lewat petang   Perdana  Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak bersama masyarakat Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib mengenai kedua-dua negara mempertimbangkan untuk mengkaji semula tol di Laluan Kedua untuk menarik lebih ramai orang menggunakannya sebagai laluan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Ketika ditanya mengenai tempoh masa kajian itu, beliau berkata kajian itu mungkin mengambil masa dalam masa enam bulan.

Buat masa ini, beliau masih belum dapat menganggarkan kadar  bayaran tol yang akan dikenakan namun menjanjikan ia adalah satu kadar tol yang menarik.

Selain itu, beliau berkata kedua-dua negara juga bersetuju menambah kekerapan perjalanan perkhidmatan kereta api oleh Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada 26 kepada 31 perjalanan sehari dari Johor Bahru ke Woodlands untuk tahun ini, dalam masa dua tiga bulan akan datang.

"Malah, kita cuba untuk meningkatkan jumlahnya menjadi 36 perjalanan sehari tahun hadapan bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor," katanya.

Buat masa ini, dianggarkan lebih 300,000 pengguna menggunakan Tambak Johor setiap hari.- Bernama