KUALA LUMPUR - Isu kenaikan kadar baharu tol hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu akan datang.
 
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menegaskan apa juga kebocoran maklumat yang keluar dari Kabinet masih belum dimuktamadkan.
 
"Kita ada bincangkan, tapi maklumat lanjut pelaksanaan akan diputuskan dalam beberapa minggu akan datang.
 
"Jadi apa jua kebocoran yang keluar daripada Kabinet, sebenarnya belum muktamad," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.
 
Dalam masa sama, Najib juga melahirkan kekecewaannya apabila salah seorang anggota kerajaan telah membocorkan maklumat tersebut sambil menyifatkannya sebagai tidak beretika dan mengkhianati kepercayaan kerajaan.
 
"Malangnya berlaku kebocoran di media sosial...ia sangat-sangat malang kerana ada pihak yang tidak beretika dan mereka telah mengkhianati kepercayaan sebagai anggota kerajaan," katanya lagi.