PUTRAJAYA - Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan berpendapat kelulusan itu merupakan satu perkembangan positif.

Menurutnya, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan itu merupakan langkah awal dalam mentransformasi pendidikan tinggi.

“Ia juga sejajar dengan hasrat Kementerian menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020.

“Pembentangan RUU berkenaan cadangan pindaan beberapa peruntukan AUKU dijangka dilakukan pada persidangan Parlimen kali ini yang akan berakhir pertengahan bulan depan.

“Pindaan itu turut melibatkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174),” katanya.

Menurut Maszlee, pindaan berkenaan melibatkan pemansuhan peruntukan yang menghalang pelajar universiti terlibat dalam aktiviti parti politik di kampus.

“Ia seperti yang disebut dalam Seksyen 15(2)(C) AUKU, Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

“Semua akta itu terpakai kepada semua Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Institut Perguruan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, langkah terbaru itu selari dengan transformasi politik yang dibawa kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi.

“Terutamanya dalam memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik di kampus selain menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa.

“Beberapa peruntukan dalam AUKU yang diguna pakai pada masa sekarang perlu disesuaikan dengan pelan transformasi yang diusahakan oleh kerajaan baharu.

“Keadaan ini memerlukan AUKU dilihat semula bagi memastikan bahawa semangat dan kehendak transformasi tersebut diterjemah berdasarkan keluhuran undang-undang,” katanya.