SHAH ALAM - Disebalik kejayaan operasi rampasan dadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bimbang mengenai kuantiti barang terlarang itu yang masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, dalam konteks dadah, jumlah rampasan itu boleh dikaitkan dengan kadar permintaan dari dalam negara.

"Kita memuji kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kejayaan-kejayaan besar operasi mereka dan ia menunjukkan keberkesanan dalam menangani hal ini.

"Saya tak dapat ulas lebih lanjut mengenai rampasan dadah dalam skala besar itu untuk kegunaan di mana. Ada banyak kemungkinan dalam hal ini tetapi jumlah rampasan yang tinggi ini melahirkan kebimbangan adakah permintaan datangnya dari dalam negara ini sahaja," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Sebelum ini, polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki dan merampas syabu bernilai RM54 juta dalam serbuan di Pulau Pinang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Syabu 1 tan dirampas]

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, wujud pelbagai kemungkinan mengenai rampasan dadah dalam skala besar seperti Malaysia menjadi transit sebelum dieksport ke negara lain atau separuh daripada jumlah dadah itu bagi permintaan dalam negara ini.

Tambah Zulkifli, isu dadah perlu diselesaikan secara holistik kerana usaha mengekang pembekalan tanpa memberi kesedaran umum tentang keburukan dan kesan penyalagunaan dadah.

"Kita berjaya kekang dan sekat bekalan dadah masuk tetapi jika tiada kesedaran dalam masyarakat, ia akan tetap masuk juga. Aspek pencegahan ini perlu berkesan.

"Kita mahu wujudkan genarasi yang mana bila kita hidang atau letak dadah depan mereka, ia ditolak kerana tahu kesan buruknya. Tapi kalau sekarang (hidang) saya rasa ada yang mahu. Jadi kita nak wujudkan generasi daripada kecil hingga dewasa tahu dadah itu membinasakan," katanya.