SHAH ALAM - Suasana luar biasa dapat dilihat di Kompleks Media Karangkraf apabila orang ramai masih berpusu-pusu menghadiri Jualan Gudang Akhir Tahun 2018 walaupun program tersebut telah lapan hari berlangsung dan bakal melabuhkan tirainya Ahad ini.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Raja Shahfaizal Raja Khairudin berkata, sambutan luar biasa itu menunjukkan amalan membaca masih lagi menebal dalam diri rakyat Malaysia.

“Apa yang lebih menarik, pengunjung yang datang terdiri daripada pelbagai bangsa dan mereka datang bersama keluarga memandangkan jualan gudang ini menyediakan buku untuk semua lapisan usia,” katanya.

Raja Shahfaizal berkata, menjelang hari-hari akhir Jualan Gudang ada beberapa tawaran menarik disediakan kepada pengunjung terawal iaitu baucer taman tema Bayou Lagoon, baucar The Shore Oceanarium dan baucer KFC.

“Mereka akan mendapat salah satu baucer ini selepas membuat pembelian RM50 dan ke atas dalam satu resit serta senaskah Sinar Harian.

“Selain tawaran harga runtuh serendah RM1 masih dikekalkan,” katanya.

Raja Shahfaizal menambah, di samping memberi tumpuan kepada harga runtuh bahan bacaan, dan pengisian menarik sepanjang jualan berlangsung Karangkraf sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.

"Untuk keselesaan, tempat jualan disediakan dalam keadaan baik dengan tempat berhawa dingin.

“Surau juga dekat kawasan parkir kenderaan yang luas manakala bayaran boleh dibuat secara tunai, debit, dan kad kredit,” katanya.

Menjelang hari akhir Jualan Gudang pelbagai acara menarik dirangka penganjur, esok dan lusa sesi Temu Mesra bersama Novelis Alaf 21 dan Buku Prima akan diadakan dan yang akan hadir adalah Amyliey Haizani, Qaseh Husna, Murni Aqila dan Eshal Nuranis, DeaZoraya, Rabihah Nur Ridhuan, A Darwisy, Arifful Baqi, Ebriza Aminudin, Syaida Ilmuna dan Saidee Nor Azman, Helmi Effendy, Sufi Abqari, Aziah Zainal dan Zyra Safiya.

Esok turut diadakan program istimewa Beli buku dan Sertai Bengkel Belajar Jahit Baju Melayu bersama Noriss Nur pada jam 11 pagi dan pada sebelah petang jam 3 Beli Buku dan Sertai Kelas Membuat Kek dengan hanya membeli buku kek Mentega. Bengkel dan kelas berkenaan diadakan secara percuma dan penyertaan adalah terhad.

Pada Ahad iaitu hari terakhir Jualan Gudang diadakan Bengkel Pemantapan Subjek Matematik juga secara percuma untuk murid sekolah rendah dengan hanya membeli buku Fuiyoo Matematik mereka boleh menyertainya yang akan dikendalikan oleh penulis buku berkenaan, Kipas Hikmat pada jam 10.30 pagi.

Jualan Gudang Akhir Tahun 2018 berlangsung selama 10 hari bermula 2 November lalu dari jam 9 pagi hingga 7 malam.