JOHOR BAHRU - Saya bukan pengemis dan tidak menipu orang ramai... Saya menjual tisu untuk menyara keluarga. Memang benar, kad OKU (Orang Kurang Upaya) ini adalah salinan daripada kad asal bagi kegunaan ketika bekerja,” jelas Noraslinda Rajoni, 42.

Noraslinda yang cacat penglihatan dalam kategori B2 (rabun teruk), mendapat perhatian umum selepas gambar dan videonya sedang mendepositkan wang tunai berjumlah RM14,000 tersebar di laman sosial dipercayai dirakam oleh individu yang bekerja di bank di Bandar Baru Uda.

Wanita itu turut dituduh dengan cara meraih simpati orang ramai selepas gambarnya yang sedang menjual tisu  memakai kad OKU dan didakwa palsu berdasarkan kualiti pada kad berkenaan ditemani seorang wanita warga Indonesia.

“Selepas kejadian itu, saya dikecam teruk, pelbagai tohmahan dilemparkan malah ada yang mahu menusuk mata saya menggunakan garpu kononnya menyamar sebagai orang buta. Sedangkan saya memang mengalami rabun teruk sejak kecil.

“Akibat viral itu, anak saya juga turut tertekan sehingga malu untuk ke sekolah dan  berdepan dengan orang ramai  kerana ibu mereka dilabel penipu,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata.

[ARTIKEL BERKAITAN: OKU viral deposit wang di bank bagi penjelasan]

Hasil perkahwinan pertama Noraslinda dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamad Azmierul Aizat, 25;Mohamad Adzmierul Izwan, 23, dan Siti Nor Amyliya Natasha,20 dan hanya anak sulung wanita itu yang bertugas sebagai tentera adalah normal.

Menurutnya, Mohamad Adzmierul Izwan juga mengalami masalah rabun teruk juga turut menjual tisu manakala Siti Nor Amyliya kini sedang melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di Kuala Lumpur.

Wanita itu yang berasal daripada Kuala Lumpur itu, berkahwin kali kedua selepas bercerai dengan suami pertama.

Hasil perkahwinan kedua beliau dikurniakan seorang anak perempuan, Nurshazlin Fatihah Samsol Azli, 13 yang juga mengalami masalah penglihatan. Kini wanita itu menetap di Kampung Aman Larkin, dan berkahwin dengan warga Indonesia, Fian Herfianzah Muliadi,36.

“Hasil titik peluh saya menjual tisu digunakan untuk menyara keluarga dan menampung pelajaran anak-anak. Ini kerana ayah mereka (suami pertama) telah meninggal dunia. Saya juga memerlukan modal besar setiap hari kerana perlu bergerak dari satu tempat ke lokasi lain menaiki teksi.

“Bukan mudah berniaga kerana saya pernah dimaki dan dipukul oleh pelanggan kerana kononnya saya menipu malah kesan daripada viral itu, ia bukan keluarga sahaja kena tempiasnya malah rakan OKU lain juga turut dimaki dan dihalau sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

"Wang RM14,000 bukan wang saya sepenuhnya,” katanya lagi.

Menjelaskan mengenai wang tunai RM14,000 itu, yang didepositkan di bank berkenaan pada 30 Disember lalu bukan wang milik Noraslinda sepenuhnya. Dia daripada jumlah keseluruhan  Not RM1 sebanyak RM8,000 dan Nor RM5 berjumlah RM6,000 itu hanya RM3,000 adalah miliknya.

“Wang RM3,000 itu juga adalah duit terkumpul dan bukannya hasil jualan tisu untuk sehari. Selebihnya duit rakan-rakan dan anak kedua saya, memandangkan saya masih nampak, mereka mengirimkan wang dalam not kecil itu untuk dimasukkan ke bank.

“Selepas wang itu didepositkan, saya akan keluarkannya kembali untuk mendapatkan not besar sebelum diserahkan kepada rakan-rakan. Daripada jumlah itu juga saya akan tolak daripada tisu yang mereka ambil dari saya,” katanya.

Beliau mengakui kecewa dengan tindakan individu yang  merakam gambarnya ketika sedang berurusan di bank sebelum ia tersebar. Selepas dimaklumkan mengenai viral itu, Noraslinda turut membuat laporan polis di Balai Polis Larkin, pada 6 Januari lalu.

Noraslinda mengakui wanita memakai tudung dan tidak memakai kacamata dan gambar tidak bertudung dan memakai kaca mata adalah dirinya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan OKU, Noor Hazira  Mohd Noor, 42, turut membuat laporan polis berkenaan aduan diterima Noraslinda pada 8 Januari lalu di Balai Polis Larkin.

Beliau juga menyelar tindakan kakitangan bank kerana mengambil gambar pelanggan ketika berurusan sekali gus melanggar etika pekerjaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Sebanyak RM50.6 juta peruntukan bantuan telah dibayar kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) di Pahang, sejak 2014 hingga 30 Jun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat untuk mewujudkan khidmat sukarelawan bagi membantu golongan warga emas dan OKU menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).
  • KUALA PILAH - Seorang bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang juga seorang orang kurang upaya (OKU), Khamaruzaman Mohd Yusof berhasrat mencatatkan rekod dunia menerusi misi penerbangan solo mengelilingi dunia tahun depan.
  • NILAI - Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran kini boleh menikmati pembelajaran al-Quran dan solat dalam suasana yang lebih menyeronokkan dan santai.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 42 kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) sekitar Taman Medan dan 16 anak anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini diraikan dalam satu majlis membeli belah di ibukota sempena menyambut kehadiran Aidilfitri tidak lama lagi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.