KUALA TERENGGANU - Keengganan dan sikap tidak ambil peduli penduduk Terengganu untuk mengemas kini alamat mereka menyebabkan banyak saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negeri ini belum dapat diselesaikan. 

Sehubungan itu, Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie meminta orang ramai mengemas kini alamat terbaru masing-masing bagi memudahkan jabatan tersebut menyerahkan notis dan surat makluman bagi  mengelak saman tertunggak. 

Beliau berkata pihaknya membuka beberapa kaunter di luar ibu pejabat JPJ di Kuala Terengganu bagi memudahkan orang ramai berurusan. 

"Setakat ini, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan JPJ di kaunter yang dibuka di Pasaraya Sabasun serta pejabat cawangan JPJ daerah di Besut dan Kemaman.

"Selain itu, program Satu Komuniti Satu JPJ yang turut diadakan lebih kerap juga ada menyediakan kemudahan menukar alamat serta beberapa perkhidmatan lain," katanya kepada Bernama hari ini.
    
Abdul Rahman berkata Seksyen 58A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010 memperuntukkan bahawa pemilik kenderaan mestilah mengemas kini alamat terbaru untuk memudahkan JPJ menghantar notis makluman saman. 

Beliau berkata pihaknya belum berpuas hati dengan kadar rekod kemas kini alamat di negeri itu, yang disifatkan masih di tahap sederhana, dan berharap orang ramai akan lebih prihatin dengan perkara tersebut. 

"Tidak timbul isu untuk JPJ atau pihak berkuasa lain pula yang perlu mencari individu bagi menyerahkan saman, sebaliknya setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap sebarang pertukaran maklumat peribadi mereka," katanya. - Bernama