PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membentangkan laporan penuh berhubung isu permohonan 63 pelajar bagi mendapatkan biasiswa JPA untuk mengikuti pengajian di luar negara pada mesyuarat jemaah menteri akan datang.

Menurut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, beliau juga telah membawa perkara tersebut ke mesyuarat Kabinet minggu lepas.

“Saya akan sentiasa memantau dan memastikan kebajikan pelajar dalam memperoleh kemudahan kewangan bagi meneruskan pengajian mereka terpelihara,” katanya dalam kenyataan di sini. hari ini.

Dilaporkan 63 pelajar tersebut memohon biasiswa daripada JPA untuk mengikuti pengajian di luar negara. Mereka telah menyerahkan petisyen tiga bulan lepas dan dimaklumkan mereka perlu menunggu bagi kertas laporan dibentangkan pada Kabinet.

Menurut laporan, pelajar itu bagaimanapun tidak menerima sebarang maklum balas daripada JPA, selepas jabatan itu menyatakan pihaknya sedang menunggu untuk membentangkan kertas laporan kepada Kabinet.

Maszlee berkata beliau bersimpati dengan situasi yang dialami pelajar terbabit namun pihak Kementerian Pendidikan juga memahami kekangan yang dihadapi oleh JPA daripada aspek kewangan.

"Saya yakin dengan kerjasama semua pihak isu ini akan menemukan jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perkara tersebut.