MARAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya memberi peluang bekerja semula kepada kira kira 14,000 pencarumnya yang hilang upaya kerja dalam Kempen "Jom Kembali Bekerja" bagi tempoh tiga tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib berkata, mereka adalah daripada seramai 20,000 pencarum yang menghadapi kemalangan yang telah diberikan latihan pemulihan.

Menurutnya, walaupun sebahagian mereka tidak pulih seperti sedia kala akibat terbabit kemalangan, tetapi latihan yang mereka terima di Pusat Pemulihan Pekerjaan Kemalangan di Melaka dapat memberi peluang kepada mereka bekerja semula.

"Kemalangan yang dialami pekerja bukan sahaja membabitkan kerugian kepada kerajaan kerana terpaksa membayar pampasan dan sebagainya, malah turut merugikan majikan.

"Justeru kempen Kembali Kerja ini membantu meningkatkan produktiviti syarikat majikan sekali gus mengurangkan kadar kerugian dari segi tenaga mahir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis mesra pemimpin di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Maran, malam semalam.

Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia akan meningkatkan lagi kempen mengatasi kemalangan dalam perjalanan di kalangan pekerja dan majikan di negara ini tahun depan supaya kadar kemalangan ke atas pekerja dapat dikurangkan.

Tahun lalu, sebanyak 28,579 orang atau kira-kira 45.5 peratus daripada keseluruhan kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso membabitkan kemalangan pekerja yang berulang alik ke tempat kerja berbanding tahun sebelumnya sebanyak 44.2 peratus sahaja.

Sehingga September 2016 lalu, sebanyak 23,322 kes kemalangan perjalanan ketempat kerja dilaporkan, kira kira 46.4 peratus dari keseluruhan 50,314 kemalangan yang dilaporkan setakat ini.

Daripada jumlah keseluruhan 62,837 kemalangan yang dilaporkan pada tahun 2015, sebanyak 95.6 peratus hilang upaya sementara dan 29.5 peratus daripadanya turut mengalami hilang upaya kekal.

"Perkeso telah memproses kira kira 1,000 kes kematian tahun lepas, iaitu 69 peratus adalah kematian akibat kemalangan semasa dalam perjalanan ketempat kerja berbanding 31 peratus kematian akibat kemalangan di tempat kerja.

"Manakala sehingga September tahun ini, sebanyak 740 kes kematian dilaporkan melibatkan 237 kematian akibat kemalangan semasa bekerja berbanding 503 kes kematian akibat kemalangan dalam perjalanan," katanya.

Ismail berkata, kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih RM2.18 billion kepada mangsa dan tanggungan sehingga September lalu, berbanding RM2.66 billion tahun 2015, RM2.46 billion pada tahun 2014 dan bertambah setiap tahun.

Sehubungan itu katanya, lebih banyak latihan, kursus, ceramah serta dailog dengan majikan, pekerja akan diadakan secara lebih kerap mulai tahun depan seiring Pelan Strategik Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia 2016-2020 bagi mengurangkan kadar kemalangan tersebut.

Tahun lepas 350 ceramah, dialog, latihan dan kursus telah diadakan di seluruh negara dengan kerjasama agensi dan NGO, dan sehingga September lalu lebih 269 premis dan majikan mengikuti kursus dan dialog dalam program perjalanan selamat pergi balik kerja dan advokasi di seluruh negara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan kenaikan kadar pencen di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan mulai 1 September tahun ini.
  • KUALA LUMPUR - Pemandu teksi konvensional dan penyedia perkhidmatan pengangkutan dalam talian seperti Uber dan GrabCar disaran mencarum dalam Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan mereka menikmati faedahnya.
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mewujudkan Pelan Induk Pelaburan Strategik selama lima tahun membabitkan semakan dasar, strategi portfolio dan pengurusan serta semua kelas aset dan pembolehubah.
  • KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) belum menerima maklum balas daripada kerajaan mengenai tuntutannya agar menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (MPGK) sejak Disember tahun lalu.
  • GEORGETOWN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyampaikan cek bayaran faedah pengurusan jenazah kepada keluarga T. Nhaveen, yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang Khamis lepas setelah cedera parah dipukul sekumpulan lelaki.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.