TIDAKLAH saya bermimpi rupa-rupanya. Ketika membuat artikel ‘Jom kita pakat bayar hutang negara’ saya tidak dapat ramalkan reaksi umum.

Saya cuma berdoa agar lambat-laun akan ada  individu dan kumpulan tampil memberi sumbangan.

Tetapi tekaan saya tersasar. Hanya sehari selepas artikel itu disiarkan dalam Sinar Harian Rabu lalu, sudah ada beberapa pihak mengambil inisiatif menimbulkan isu serupa atau sudah mula memberi sumbangan.

Seorang pegawai undang-undang, Nik Shazarina Bakti dilaporkan melancarkan gerakan mengumpul dana untuk membantu meringankan beban hutang negara yang mencecah RM1 trilion itu. Beliau menggunakan laman sesawang sebagai medium.

“Rabu lepas, terdetik idea untuk kumpul sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia untuk menolong kerajaan, melalui ‘fund-raising platform’,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Shazarina, 27, sering membaca di akhbar luar negara tentang inisiatif seperti ini jika mereka menghadapi masalah kesihatan, bencana alam atau untuk penambahbaikan kemudahan untuk komuniti setempat, seperti pembinaan sekolah, membaiki paip air atau jalan.

Beliau melancarkan fund-raising platform itu dengan pertolongan keluarga, rakan-rakan, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin dan aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Mahathir. Beliau akan salurkan sumbangan itu kepada Kementerian Kewangan.

Jumaat lalu, empat wakil rakyat DAP Perak mengumumkan sumbangan untuk tujuan sama.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berjanji akan memberi RM16,000 gajinya sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan untuk bulan ini.

Jika dihitung katanya, setiap rakyat Malaysia termasuk yang baru lahir terpaksa membayar RM32,000 akibat daripada ketirisan dan penyelewengan pengurusan ketika pentadbiran kerajaan dahulu.

Timbalan Pengerusi DAP negeri, V Sivakumar; Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh akan  mendermakan sebahagian gaji sebagai ahli Parlimen berjumlah RM8,000 setiap seorang kepada kerajaan untuk tujuan sama. Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen mengumumkan akan menyumbang RM10,000.

Setakat yang saya tahu, antara individu pertama yang menyumbang adalah dari Berjuntai Bestari.

“Walaupun sumbangan saya sedikit sahaja, saya harap ia membantu meringankan beban kerajaan baharu membayar hutang,” kata individu yang mengirim RM100 kepada Jabatan Perdana Menteri.

Idea menghidupkan usaha sumbangan untuk ringankan beban kerajaan membayar balik hutang negara terlintas dalam fikiran saya juga selepas laporan media mengenai hutang negara yang tersangat banyak itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaitkan isu hutang itu sebagai tindakan mencabul kewangan negara pada tahap begitu teruk.

Sebenarnya, sumbangan rakyat untuk membantu kerajaan dan pihak berkaitan bukan baharu.

Seperti yang saya ceritakan minggu lalu, kami murid-murid sekolah rendah bersama rakyat jelata di seluruh negara, menyumbang RM1 masing-masing untuk pembinaan Masjid Negara.

Rakyat juga memberi sumbangan ketika dewan Universiti Malaya terbakar beberapa tahun lalu.

Bagi saya, Malaysia ada 32 juta penduduk sekarang. Kalau setiap daripada kita sumbangkan sedikit wang, ia akan membantu kurangkan beban negara menanggung hutang tersangat banyak itu.

Rakyat biasa boleh sahaja menyumbang RM2 masing-masing melalui potongan gaji selama setahun atau lebih. Hartawan, dermawan dan jutawan boleh sumbang jauh lebih banyak.

Mungkin kerajaan baharu tidak rasa sesuai untuk membebankan rakyat menyumbang kepada kerajaan untuk membayar hutang. Barangkali kerajaan juga tidak mahu ia disalah anggap bahawa kerajaan cuba mengambil kesempatan ke atas rakyat jelata.

Apatah lagi, rakyat sudah pun boleh dikira membuat sumbangan melalui cukai dikenakan.

Tetapi bagi saya, apabila kita sama-sama memikul seorang sedikit tanggungjawab menyumbang, bukan sahaja hutang negara dapat dibayar secara perkongsian, malah ia mengukuhkan penyatuan kita.

Ia memberi makna mendalam kepada maksud kecintaan kita kepada negara. Dengan lain perkataan, ia meningkatkan tahap cinta kita kepada rasa komitmen, tanggungjawab,  kesetiaan dan sense of belonging dan sebagainya.

Apa lagi ditunggu. Marilah kita rakyat yang cintakan negara ini terus sumbang untuk membantu kerajaan membayar hutang yang sangat banyak itu. Wallahuaklam!