KUALA BERANG - Kementerian Pendidikan menasihatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pengesahan terhadap anak jalanan yang dijadikan anak angkat di institusi kebajikan itu bagi memudahkan proses pendaftaran kemasukan ke sekolah.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berkenaan mempunyai dokumen yang disahkan sebelum mereka dibenarkan bersekolah.

Katanya proses sama turut perlu dilakukan oleh mana-mana ibu bapa yang memelihara anak angkat warga asing supaya mereka mendapat pendidikan sewajarnya seperti kanak-kanak lain.

"JKM perlu membuat satu deklarasi yang menyatakan atau mengesahkan kanak-kanak itu dijumpai di mana dan berapa lama dipelihara oleh JKM. Serupa juga ibu bapa angkat...dia kena ada ikatan perundangan  daripada JKM atau pihak mahkamah bagi menyatakan kanak-kanak itu adalah anak angkat yang dipelihara secara sah dan mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia merangkap ADUN Telemong Datuk Rozi Mamat dan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussain.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata pihak kementerian harus bertegas dalam proses dokumentasi kerana tidak mahu sekolah disalahkan oleh pihak yang berkenaan jika proses pendaftaran tidak dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Bukan apa...pihak sekolah takut jika kanak-kanak berkenaan ada masalah dengan imigresen... Nanti kalau sekolah ambil budak ini (kemudian) imigresen datang tangkap siapa yang nak bertanggungjawab?" katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pengasingan kelas mengikut pencapaian akademik, Mahdzir berkata hanya segelintir sekolah yang masih mengamalkan cara tersebut di sesetengah negeri.

"Sekolah ini dinamakan 'control school'. Iaitu sekolah yang meletakkan standard tertentu bagi pengambilan pelajar-pelajarnya. Kita masih benarkan sesetengah sekolah berbuat demikian.

"Bagaimanapun saya telah berbincang dengan pegawai-pegawai di kementerian, sekolah berkenaan bukan sahaja menerima pelajar-pelajar yang tertentu tapi perlu memberi peluang pelajar tempatan masuk belajar di sekolah itu juga," katanya. - Bernama