KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mendapatkan bantuan kepakaran Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) bagi mempertingkatkan keupayaan pengetahuan serta latihannya.

Ini ekoran Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Maritim dan JICA pada luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) 2018 di sini hari ini.

​​​​​Ketua Pengarah Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata JICA akan menawarkan kepakarannya bagi membolehkan Maritim mempertingkatkan lagi  pengetahuan serta keupayaan latihan termasuk meningkatkan kepakaran dan keupayaan tenaga pengajar Maritim.

Zulkifli berkata Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Kuantan Pahang bermatlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan di Asia Tenggara yang menyediakan latihan dalam keselamatan marin kepada negara asing  bagi meningkatkan  keselamatan maritim serantau.

“Latihan berterusan dalam keselamatan maritim bagi pelatih antarabangsa di AMSAS dikendalikan oleh jurulatih Maritim yang profesional dan terlatih bagi memperkukuhkan hubungan antara agensi keselamatan maritim di rantau ini,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

Beliau berkata para pelatih juga diberikan tugas merancang eksasais bersama dalam penguatkuasaan undang-undang maritim dan melaksanakan apa yang dirancang. - Bernama