KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Jho Low mungkin telah meninggalkan Macau atau mendapat suaka daripada wilayah itu.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) yang memetik sumber pihak keselamatan, Low mungkin menjadikan Macau sebagai tempat berlindung daripada pihak berkuasa untuk melakukan ekstradisi terhadapnya.

Sumber itu juga memberitahu, tempoh maksimum untuk Low tinggal secara sah di Macau iaitu 30 hari telah lama berlalu.

“Khabar angin bahawa Low menghabiskan masa di Macau telah tersebar selama lebih dari sebulan dan ini masuk akal kerana walaupun Malaysia mempunyai perjanjian bantuan undang-undang bersama Hong Kong Kong, tetapi mereka tidak mempunyai perjanjian dengan Macau.

“Bagaimanapun, Low tidak boleh tinggal di Macau selama lebih dari 30 hari, dan jika dia keluar masuk untuk kali ketiga, kerajaan akan menghalaunya keluar. Tujuh minggu adalah tempoh maksimum Low boleh tinggal namun tempoh itu telah berlalu,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Cari Jho Low sampai dapat: Tun M ]

Maka, katanya, Low mungkin sudah tidak berada di Macau melainkan dia memohon suaka.

Bagaimanapun, SCMP belum berjaya mendapatkan jawapan imigresen Macau berkenaan perkara tersebut.