MADINAH - Unit Bimbingan dan Ziarah Tabung Haji Madinah menasihatkan jemaah untuk merujuk kepada pembimbing ibadat haji Tabung Haji (TH) sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, terutamanya berkaitan dengan khilaf mazhab.

Pengurus Ibadat TH di Madinah Mohd Zamri Ramli berkata sekiranya kemusykilan tersebut memerlukan jawapan yang lebih khusus, ia akan dirujuk kepada pakar rujuk TH.

“Pembimbing Ibadat Haji yang bertugas di Madinah dan Makkah bagi tahun ini terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti guru, pensyarah serta penceramah bebas dan kesemua mereka berpengalaman (dalam bidang hukum),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata Tabung Haji menyediakan program ziarah jemaah haji yang tiba di Madinah dikenali sebagai ziarah dalam, ziarah luar dan ziarah silaturahim.

Katanya program ziarah dalam merangkumi lawatan jemaah ke kawasan dalam Masjid An-Nabawi, seperti di Makam Nabi Muhammad S.A.W, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, sudut Raudhah serta Perkuburan Baqi’.

“Bagi program ziarah luar pula, kami dibantu pelajar dari Universiti Madinah akan membawa jemaah menaiki bas menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Quba, Jabbal Uhud dan Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh serta ladang kurma.

“Ziarah silaturahim pula berkisar kepada lawatan pihak kami kepada jemaah yang uzur di bilik-bilik penginapan mereka dan membantu mereka menyelesaikan masalah-masalah dari segi persoalan ibadat, selain turut sama dibantu unit kaunseling TH,” katanya.

 

Seramai 12 pembimbing ibadat haji dilantik bagi musim 1439H ini dan ditempatkan di pejabat-pejabat zon di Madinah. -Bernama