MADINAH - ARAB SAUDI. Jemaah haji dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar seperti membeli-belah dan ziarah terutama pada waktu siang, selain yang diaturkan oleh Tabung Haji (TH) semasa di tanah suci berikutan keadaan cuaca yang agak panas.

Pengarah Operasi Tabung Haji Madinah Affandi Abdullah turut mengingatkan jemaah haji Malaysia musim 1439H ini untuk menjaga kesihatan dan memperbanyakkan meminum air kosong bagi mengelakkan dihidrasi.

“Pada tahun ini, musim haji masih lagi berlangsung dalam musim panas. Justeru jemaah diminta bersedia dalam menghadapi cuaca panas yang melebihi 40 darjah celsius,” katanya pada sesi bertemu media di sini, hari ini.

Mengikut statistik TH, suhu yang paling panas dicatatkan adalah pada tiga tahun lepas, iaitu waktu wukuf semasa itu berlaku pada bulan September yang merupakan kemuncak musim panas.

Kawasan yang paling panas adalah di Madinah. Bagaimanapun, musim haji berganjak ke depan sedikit setiap tahun dan pada tahun ini jemaah haji berkemungkinan akan wukuf di Padang Arafah pada 20 Ogos dan akan pulang ke Malaysia sebelum bulan September.

Menurut pegawai perubatan TH, jangkaan  suhu di tanah suci pada musim haji kali ini adalah dalam lingkungan 40-46 darjah celsius pada waktu siang dan mencapai 34 darjah celsius pada waktu malam.

Perbezaan keadaan iklim cuaca antara Arab Saudi dan Malaysia akan menyebabkan jemaah haji lebih cenderung untuk mendapat penyakit berkaitan kesan kepanasan seperti strok haba.

Terdapat tiga peringkat penyakit yang disebabkan oleh kepanasan iaitu kejang haba, diikuti dengan kelesuan haba dan strok haba.

“Bagi jemaah yang menunjukkan simptom awal  penyakit ini seperti kekejangan otot (kejang haba), pening, loya-loya dan muntah (kelesuan haba), mereka dinasihati untuk segera berjumpa pegawai kesihatan yang telah ditempatkan di setiap zon masing-masing untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ini adalah untuk mengelakkan para jemaah mengalami peringkat ketiga iaitu strok haba yang berisiko untuk mendatangkan maut atau membuatkan organ-organ dalaman rosak.

Beliau berkata untuk tiga zon penginapan di Madinah, pusat rawatan TH akan ditempatkan di Hotel Al-Haram bagi zon satu, Hotel Anwar Movenpick bagi zon dua dan Hotel Rawda Al-Aqeeq bagi zon tiga.

Pusat-pusat rawatan ini akan beroperasi antara 7 pagi-12 tengah hari, 4 petang-6 petang dan 8 malam-10.30 malam, di samping perkhidmatan kecemasan yang beroperasi 24 jam sehari.

Jemaah juga, terutama yang sudah berusia, disarankan untuk memaklumkan penyakit yang dihidapi seperti kencing manis atau darah tinggi kepada pegawai perubatan di sini terlebih dahulu bagi memudahkan langkah pencegahan dan berjaga-jaga diambil.

Para jemaah turut disarankan untuk kerap meminum air zam zam yang terdapat di dalam masjid kerana air zam zam mengandungi elektrolit dan garam galian yang mampu untuk menggantikan garam yang hilang dari dalam tubuh.

Bagi jemaah lelaki, mereka digalakkan memakai pakaian yang nipis dan cerah yang mampu untuk memantulkan haba justeru dapat mengurangkan tahap serapan haba ke dalam tubuh.

Para jemaah juga dinasihati untuk mendapatkan tidur dan rehat yang cukup bagi memastikan mereka mempunyai tenaga untuk menjalankan ibadat di tanah suci. - Bernama