SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan siasatan dari pelbagai sudut berhubung penganjuran majlis berbuka puasa dalam kalangan pendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mula tular pada 10 Jun lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Nadia Zammil Md Nasir berkata, pihaknya sedang menyiasat sejauh mana kebenaran tular yang tersebar.

“Menurut sumber, ada yang mengatakan mereka bukan menganjurkan majlis iftar, sebaliknya ada pihak lain cuba melakukan provokasi dengan menggunakan nama iftar.

[Belia diminta waspada agenda LGBT]

“Kami masih menyiasat kebenaran perkara ini sebelum memanggil pihak penganjur bagi memberi penjelasan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, semua kumpulan atau gerakan LGBT dan sebagainya adalah di bawah pemerhatian pelbagai pihak termasuk agensi-agensi agama.

“Kami sentiasa membuka pintu kepada golongan ini yang mahu mendekati dan memahami Islam supaya semua permasalahan yang sedang mereka hadapi dapat diselami dan dibantu untuk diselesaikan tanpa membuat sebarang kompromi kepada hukum serta undang-undang sedia ada.

“Pendekatan kasih sayang dan sentiasa mendengar untuk menyelesaikan masalah diberi keutamaan terlebih dahulu supaya isu seperti ini tidak lagi timbul pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sebarang aktiviti membabitkan LGBT adalah bertentangan dengan undang-undang sivil dan syariah sedia ada.

“Bagi kumpulan yang mengembangkan fahaman bahawa perlakuan LGBT sebagai sesuatu yang dibolehkan di dalam Islam atas alasan khilaf pendapat, golongan ini boleh didakwa di bawah undang-undang syariah di bawah peruntukan ‘mengeluarkan pendapat bertentangan dengan fatwa’.

“Tetapi bagi kes menggunakan amalan ibadah Islam seperti puasa dan berbuka puasa dan disekutukan dengan kumpulan LGBT serta kumpulan yang menentang syarak, jika perbuatan itu dibuat bagi tujuan sengaja menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, mereka boleh didakwa di bawah peruntukan ‘menghina dan menyebabkan Islam dipandang hina di bawah undang-undang syarak’,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika perkara itu jelas adalah perkara yang disengajakan atau didorong campur tangan pihak luar sebagai salah satu bentuk provokasi, maka isu tersebut akan diselesai mengikut saluran undang-undang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu menggunakan peruntukan undang-undang dan enakmen syariah negeri yang sedia ada untuk mengambil tindakan sewajarnya demi mengawal penyebaran fahaman dan ajaran sesat.
  • SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan masyarakat bahawa perjuangan atas nama hak kebebasan dan hak persamaan dalam isu LGBT hanyalah kosmetik yang nampak cantik pada luaran, tetapi rosak dalaman.
  • KUALA LUMPUR - Majlis Belia Malaysia (MBM) mengecam keras agenda tersembunyi di sebalik penganjuran majlis iftar terbesar gay yang dianjurkan sebuah NGO yang secara terangan melanggar kesucian Islam dan norma masyarakat Malaysia.
  • PASIR PUTEH - Dewan Ulamak Pas Pusat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberi pengiktirafan kepada gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.