BANGI - Kerajaan merancang mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji masalah dan mencari penyelesaian melibatkan tempat asuhan kanak- kanak secara menyeluruh dengan kerjasama beberapa kementerian lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar pengasuh persendirian mendaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.

"Ini bertujuan memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan berkesan," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bercadang menambahbaik peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

"Kita mempunyai kekangan kerana tidak tahu tempat asuhan ini berdaftar ataupun tidak tetapi mengambil anak asuhan," katanya.

Wan Azizah berkata, perbincangan pihaknya dengan Jabatan Peguam Negara telah diadakan bagi kemungkinan keperluan rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat asuhan.

"Sekurang-kurangnya kita tahu aktiviti pengasuh dengan bayi. Buat masa ini, jika berlaku apa-apa tiada saksi,” katanya selepas merasmikan Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.

Isu pengasuh menjadi perhatian ramai apabila mayat Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui di dalam bahagian sejuk beku peti ais di kediaman pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, jam 11 malam, 4 Julai lalu.

[ARTIKE BERKAITAN: Bayi hilang ditemui dalam peti ais pengasuh]

Manakala, Sabtu lalu, Naufal Amsyar Nabil Fikri, yang berusia 10 bulan, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dipercayai akibat terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Naufal Amsyar meninggal dunia]