SHAH ALAM - Program Bicara Minda Bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bertajuk Malaysia Baharu & Pendidikan Negara mendapat sambutan di luar jangka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata yang hadir adalah individu dan pihak yang berkecimpung dalam dunia pendidikan.

Masing-masing mahu tahu apakah hala tuju pendidikan negara di bawah pimpinan baharu.

Bagi Pengarah Akademik Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Danial Yusof berkata, ulasan Maszlee berkenaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam program hari ini menjawab persoalan ramai yang rata-ratanya sedikit gusar dengan pelbagai percanggahan maklumat sejak kebelakangan ini.

Katanya, ada sesetengah pihak mengatakan UEC telah diiktiraf dan akan dilakukan penambahbaikan dalam bahasa Melayu dan kajian perlu dilakukan sebelum UEC diiktirafkan dan sebagainya.

“Baru tadi, Maszlee mengatakan UEC bukan sebahagian daripada janji 100 hari kerajaan PH, UEC akan dilihat dalam konteks perpaduan negara, konteks penambahbaikkan dalam sistem pendidikan negara yang sedia ada, dan juga melihat kepada memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri.

“Jawapan Maszlee adalah jelas dan ini boleh menjadi satu jawapan kepada masyarakat untuk tidak menimbulkan isu UEC sementara penambahbaikan dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, petang tadi.   

Menurutnya, kalau UEC itu mahu diiktiraf pun, banyak yang perlu diperhatikan.  

Beliau berkata, input dan apa yang dijawab oleh Maszlee tadi, pihak-pihak dalam kalangan persatuan kaum Cina, Melayu dan juga kaum-kaum lain duduk berbincang hala tuju bahasa dalam pendidikan negara.

“Saya faham pemikiran beliau, Maszlee adalah seorang yang agak progresive memperkenalkan polisi dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan tinggi negara.

“Biasanya sesi sebegini dipanggil sebagai town hall sesion dan saya rasa kalau menteri-menteri lain selalu bersama-sama dengan masyarakat untuk membentangkan polisi dan memberikan penjelasan kenyataan mereka yang mungkin sebelum ini diputar belitkan ini adalah platform yang sangat sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kumpulan Tadika ABS, Hazarini Daud berkata, topik yang diketengahkan hari ini sangat menarik dan ada sesetengah idea yang disebut tadi boleh diaplikasikan dalam tahap pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, idea daripada Maszlee yang menyarankan supaya diwujudkan kerjasama dengan sekolah berlainan aliran itu dilihat agak menarik.

“Maszlee dilihat mempunyai misi tersendiri dan berharapan tinggi untuk memastikan sistem pendidikan negara ke arah yang lebih baik.

“Namun, yang paling penting adalah gerak kerja di peringkat bawahan terutamanya guru-guru dan pelaksana, supaya apa yang dirancangkan itu bersesuaian atau tidak,” katanya.