$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegaskan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu diwujudkan tanpa mempunyai sebarang agenda tersembunyi, seperti didakwa pihak tertentu.
Menurutnya, Jati tidak mempunyai agenda hanya untuk kemajuan orang Melayu semata-mata, sebaliknya kepentingan kaum lain juga dipelihara berdasarkan ajaran Agama Islam.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, sekiranya wujud dakwaan sedemikian, beliau menganggapnya sebagai satu fitnah dan menggesa orang ramai tidak mempercayainya.
“Agenda saya adalah untuk umat Islam dan bangsa Melayu, walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya, namun berdoa agar sebutir cahaya diberikan mereka.
“Saya juga akan memaafkan kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya penubuhan Jati ini,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Jati di SACC, di sini, semalam.
Turut hadir, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali dan Senator Ezam Mohd Nor.
Beliau turut mengulas bahawa Jati ditubuhkan bukan untuk terlibat dalam dunia politik, namun ahli-ahli dalam NGO terbabit masih dibenarkan berpolitik, selagi tidak membawa nama Jati.
“Ahli Jati boleh terlibat menerusi organisasi tertentu yang dibenarkan berpolitik, tetapi untuk membawa Jati ke dunia politik, itu tidak boleh dan RoS sendiri tidak membenarkannya,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri selaku ahli politik juga tidak akan menggunakan Jati sebagai bahan kempen untuk berpolitik kerana barisan pimpinan Jati telah memberi nasihat kepadanya berhubung garis panduan ini.
Hasan berkata, sehingga kini jumlah permohonan ahli Jati telah mencecah lebih 1,000 orang sejak NGO itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan minggu lalu.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan Pas berhubung dakwaannya berkaitan parasit dalam parti itu, Hasan berkata, sehingga kini tiada sebarang keperluan untuk berbuat demikian.
“Semua pihak telah mengetahui tentang perkara ini, dalam Internet juga banyak maklumat berhubung dakwaan ini, bagi saya tiada keperluan untuk bertemu dalam isu ini,” katanya.
Dalam majlis yang dihadiri hampir 1,000 orang itu turut diserikan dengan persembahan multimedia khas penubuhan Jati dan nyanyian nasyid Asma Husna menggunakan alat muzik angklung.





