Harga rumah dijangka berada pada paras sama dan tidak berubah apabila kerajaan menggunakan modul lama cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Penasihat hartanah, Amsyari Zarir Abdul Shakur berkata, modul lama SST menyaksikan harga rumah tidak dikenakan cukai sama seperti ketika pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kita tidak tahu bagaimana mekanisme pelaksanaan SST. Adakah sama seperti pernah dilaksanakan sebelum ini atau berlaku perubahan.

“Tetapi jika masih guna modul sama, harga rumah tidak akan turun dengan mendadak dan kemungkinan tidak akan berubah. Ini kerana, harga jualan rumah tidak dikenakan cukai sejak dahulu lagi.

“Bagaimanapun, harga bahan mentah untuk pembinaan rumah dijangka turun kerana sesetengah bahan tidak dikenakan cukai, tetapi untuk mengatakan harga rumah akan turun berdasarkan faktor tersebut agak sukar kerana harga ditentukan pemaju,” katanya.

Menurutnya, secara logik sekiranya harga bahan mentah turun, pemaju juga perlu menurunkan harga rumah.

Sementara itu, untuk nilai hartanah komersial, Amsyari Zarir yang juga Pengarah Amacc Corporate Services Sdn Bhd meramalkan, penurunan sekurang-kurangnya enam peratus selepas pemansuhan GST dan kekal sama sekiranya SST masih menggunakan modul lama.

Kata beliau lagi, pada zaman SST, cukai tidak dikenakan pada hartanah komersial.