BAGAN DATUK - Keluarga dan pihak sekolah diingatkan supaya tidak mementingkan penjagaan imej dan nama baik sekiranya anak atau pelajar menjadi mangsa buli hingga tidak melaporkannya kepada polis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 2,322 kes buli dilaporkan sejak 2012 hingga Jun tahun ini.

“Itu adalah jumlah kes yang dilaporkan. Bagaimana pula kejadian buli yang tidak dilaporkan kepada pihak polis?,” soal Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan Kanak-Kanak 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), di Dewan Dato Mohamed Jumrah, Bagan Datuk, petang tadi.

Ahmad Zahid turut meminta ibu bapa dan pihak sekolah mengikis dan mengetepikan sikap malu serta mahu menjaga imej tetapi sebaliknya apa yang harus dilakukan adalah mencari permasalahn jenayah serta permasalahan di kalangan kanak-kanak.

“Perkara sebegini perlu dilaporkan terus kepada pihak polis agar mereka dapat melakukn siasatan supaya tindakan undang-undang dapat diambil selain nasihat kaunseling dapat diberikan.

“Kalau sorok sesuatu ia tidak akan menyelesaikan masalah malah ia akan turut bertimbung sehingga berlakunya ‘Snow Bowling’ sedangkan kita mahu menjadi negara maju 2050,” katanya.

Tambahnya lagi, tiada erti Malaysia bergelar negara maju sekiranya jenayah kalangan kanak-kanak masih berleluasa dan tidak dibendung.

“Tida ertinya negara maju jika jenayah berleluasa, jika anak tidak sah taraf begitu ramai tidak menerima sijil kelahiran atau MyKad,” katanya.