KUALA LUMPUR - Mana-mana pihak diingatkan supaya tidak memperlekehkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, anggota ATM sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan walaupun negara tidak akan berperang dengan negara lain.

Katanya, insiden pencerobohan pengganas di Sulu membuktikan keupayaan tentera negara mengawal perairan di sana.

"Kalau ada kerosakan (peralatan), kita akan baiki tetapi kapal terbang kita bukan Sukhoi sahaja ada banyak lagi ada di Butterworth.

"Kita tidak mahu mencabar mana-mana negara, tetapi keupayaan tentera Malaysia amat tinggi untuk pertahankan negara. Jangan sesiapa cuba perlekehkan keupayaan ATM,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas).

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing), Mohamad berkata, Malaysia belum mampu mengeluarkan jet pejuang sendiri kerana faktor kekangan kewangan.

“Walaupun pihak universiti atau penyelidik ada memberi pandangan Malaysia boleh mengeluarkan kapal terbang pejuang menjelang 2030, tetapi keupayaan kewangan kita. Kita tahu misalnya dalam usaha untuk keluarkan kapal terbang kita sudah mampu keluarkan kapal terbang penumpang.

"Walaupun ia masih di peringkat kecil, nak besarkannya tiada masalah. Tetapi untuk buat jet pejuang (ada) masalah, kita belum ada keupayaan penuh terutama dari sudut kewangan,” katanya.