SHAH ALAM - Rakyat tempatan perlu bekerja keras serta memiliki kemahiran tersendiri bagi mengelakkan warga asing merebut peluang pekerjaan di bumi kita sendiri.

Pandangan ini diberikan oleh Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan ketika mengulas mengenai kebimbangan rakyat tempatan akan kebanjiran warga pekerja asing yang menutup peluang pekerjaan rakyat tempatan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

"Rakyat kita sendiri terlalu memilih kerja. Apabila tiada pilihan lain, pengusaha akhirnya terpaksa mengupah pekerja asing. Keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya rakyat tempatan sanggup bekerja, terutama sekali bagi yang memiliki kemahiran," kata Shamsuddin ketika memberitahu kepada China Press.

Sebagai contoh, jelas Shamsuddin, tidak lebih daripada 20 peratus rakyat tempatan yang sanggup menceburi  salah satu daripada tiga sektor utama di negara kita, iaitu pembinaan, perladangan dan penternakan.

"Ketika keadaan ekonomi kurang memberangsangkan, peluang kerja sudah tentulah amat terhad. Walaupun terdapat golongan muda tempatan berusia dalam lingkungan 25 tahun yang berminat menceburi bidang kolar biru ini, tetapi boleh dikatakan hampir keseluruhan bidang kerja ini awal-awal lagi telah dimonopoli oleh warga asing," katanya.

Dalam usaha menarik lebih ramai rakyat tempatan terlibat dalam tiga sektor utama ini, Shamsuddin mencadangkan kerajaan menetapkan gaji minimum yang setaraf dengan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang pekerja.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, rakyat tempatan tidak sepatutnya merungut peluang pekerjaan telah disekat oleh warga asing sebaliknya mereka perlu menyalahkan diri mereka sendiri.

"Kita tidak boleh salahkan pekerja warga asing apabila peluang kerja kita diambil oleh orang lain. Kebanyakan pekerja tempatan tidak mahu kerja lebih masa ataupun kerja lebih.

"Apabila ada tauke yang ingin kerja mereka disiapkan cepat, hanya pekerja warga asing yang sanggup buat. Tetapi tidak pada pekerja tempatan," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat tempatan bersiap sedia menghadapi cabaran baharu dengan belajar meningkatkan kemahiran, terutama sekali dalam bidang teknologi.

Beliau mengakui masalah yang ada pada pekerja tempatan adalah sikap 'terlalu mengira'.

"Pekerja tempatan mahu kerja tetapi tidak mahu kerja dalam masa yang panjang. Mereka mahu kerja ikut masa yang ditetapkan," katanya.