SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengingatkan kepada pemandu teksi terutamanya yang bertindak biadab dalam majlis perjumpaan bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi pagi tadi untuk tidak “meroyan” jika pengguna lebih memilih menggunakan  perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Faiz yang juga Ketua Biro Integriti, Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa Pemuda Bersatu berkata, tindakan pemandu teksi berkenaan adalah sangat biadab dan kelihatan seperti samseng terutamanya jika membabitkan seorang negarawan seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, apa yang berlaku di antara perkhidmatan teksi serta Grab itu merupakan sebuah perniagaan yang akhirnya terletak kepada pengguna juga untuk membuat pilihan.

“Tiada siapa paksa anda pandu teksi atau GRAB. Perniagaan ialah persaingan. Siapa (teksi atau Grab) yang pelanggan suka maka dia (teksi atau Grab) untung. Kenapa pula nak minta kerajaan halang pilihan majoriti pelanggan?

“Sikap pemandu teksi perlu berubah dan terimalah hakikat bahawa sekarang zaman persaingan perkhidmatan mana yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Faiz berkata, pemandu teksi perlu memanfaatkan teknologi aplikasi mudah alih telefon pintar untuk mendapatkan pelanggan.

Menurutnya, pemandu teksi juga perlu adil dan jelas mengenai kadar bayaran untuk perkhidmatan berkenaan.

“Jika diwajibkan guna meter maka ikutlah kadar dari meter. Jaga etika dengan pelanggan. Guna sistem rating oleh pelanggan sebagai mekanisme penilaian perkhidmatan mereka,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Tun M kecoh diganggu pemandu teksi biadab]

Majlis perjumpaan Dr Mahathir bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi semalam kecoh seketika apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Kira-kira 10 pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Kekecohan itu hanya berlaku kira-kira dua minit dan selepas keadaan reda, Dr Mahathir berkata beliau sebagai perdana menteri hanya cuba untuk membantu golongan pemandu teksi untuk memulihkan kembali pendapatan mereka.