SHAH ALAM - Pelakon terkenal yang juga duta kempen #QuranHour, Datuk Rosyam Nor mengajak  umat Islam supaya tidak malu belajar membaca al-Quran dan memahami kandungannya kerana ia mampu memandu kehidupan manusia ke arah lebih baik.

Tahun lepas beliau turut berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer dari Kompleks Karangkraf ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di UIAM bagi mempromosi program World #QuranHour.

“Tahun ini saya  berhasrat melaksanakan inisiatif itu dalam skala  yang lebih besar,” katanya, semalam.

Mengakui tidak pandai mengaji sehingga usia mencecah 42 tahun, tetapi hari ini beliau menjadikan kelemahan itu sebagai kekuatan sehingga mampu khatam al-Quran sebanyak tiga kali.

“Saya sedar betapa pentingnya kita tahu membaca al-Quran ketika arwah bapa saya meninggal dunia. Pada usia 42 tahun, saya tak tahu baca Yasin. Sejak itu saya belajar membaca al-Quran bermula dengan Iqra’.

“Suatu ketika anak-anak bergurau. Bertanya saya dah sampai Iqra’ berapa? Sehinggalah akhirnya saya pandai mengaji. Hari ini saya bangga, mampu ajar anak-anak  mengaji,” katanya.

Rosyam berkata, program World #QuranHour adalah pencapaian besar kerana disiarkan secara langsung dan serentak di media utama seluruh dunia.

“Membaca al-Quran pada 9 Zulhijah, ia tidak akan terhenti di sini sahaja, tetapi seluruh dunia akan bermula serentak pada waktu sama iaitu jam 12 tengah hari. Jadi, bacaan al-Quran tak akan putus, sama seperti azan berkumandang,” katanya.

Katanya, dengan adanya gerakan bersama media tempatan,  diharap dapat ubah manusia khususnya umat Islam menjadi insan yang lebih baik.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.