SEREMBAN - "Jangan jaga anak macam berlian," itu nasihat Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon kepada golongan ibu bapa.

Tegasnya dari kaca mata seorang bapa, anak yang membesar melalui pendekatan sebegitu akan mengalami kesukaran apabila berdepan mehnah dan tribulasi kehidupan.

"Saya tahu, ibu bapa zaman sekarang tidak ramai anak macam dulu-dulu sampai cecah 10 orang. Bila ada seorang dua, sudah macam berlian.

"Tapi percayalah, anak tidak tahan lasak kalau dijaga macam itu. Bila masuk sekolah menengah atau keluar kepada masyarakat, dia akan mudah mengalah dengan cabaran," katanya.

Bagaimanapun kata Sin Woon, berbeza dengan generasi terdahulu yang berjaya dibentuk menerusi pendekatan lebih tegas.

"Zaman dulu bila dirotan di sekolah, kita akan kena sekali lagi di rumah. Itu cara kita dibesarkan.

"Tapi anak-anak hari ini, orang Cina kata macam tofu. Sentuh sedikit saja sudah pecah. Jadi, kita tidak boleh terlalu melindungi mereka sebab itu bukan caranya," katanya selepas menyempurnakan pemberian kasut sekolah di Sekolah Kebangsaan Ampangan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali dan Ketua MCA Seremban, Siow Koi Voon.

Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda MCA berkata, sekolah merupakan tempat untuk membantu ibu bapa membentuk anak masing-masing.  

"Kita kena beri kuasa pada golongan pendidik. Beri sokongan supaya mereka mengajar anak kita.

"Tapi jangan sampai mencederakan anak kita. Kalau tidak ikut SOP (prosedur operasi standard), kementerian akan ambil tindakan.

"Jika tidak puas hati anak didenda atau dirotan, datang ke sekolah untuk berbincang. Jangan sampai heret ke mahkamah, sebab itu tidak menyelesaikan masalah," katanya.