ALOR SETAR - Semua pimpinan PH Kedah diingatkan agar sentiasa bersatu hati dan bekerjasama untuk mengukuhkan pakatan itu di Kedah.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua wakil rakyat tidak mengharapkan habuan mahupun jawatan dalam parti atau kerajaan, sebaliknya lebih mengutamakan kerjasama dalam mentadbir Kedah.

Menurutnya, semua empat parti hendaklah bergerak sebagai sebuah kerajaan campuran dan bukannya sebagai parti berasingan bagi mengelak wujud sengketa.

“Sekarang kita sudah menjadi pemerintah selepas menang PRU14, namun kedudukan kita bukanlah begitu kukuh kerana kelebihan wakil rakyat kita tidak begitu banyak. Dalam keadaan ini, jika kita bersatu padu dan bekerjasama, takkan ada masalah dihadapi kelak,” katanya.

Pesanan Dr Mahathir itu dikongsi bersama lebih 700 ahli PH Kedah yang hadir pada Konvensyen PH Kedah, yang ditayangkan menerusi rakaman video.

Dr Mahathir turut mengingatkan agar wakil rakyat jangan mengukur pada kedudukan, sebaliknya menyumbang kepada parti secara satu pasukan.

“Kita tak harus ukur kepada kedudukan diri kita, sama ada diberikan jawatan atau tidak.

"Jika kita tumpu pada apa yang parti boleh dapat, maka perpaduan sukar dicapai. Kedudukan akan bertambah lemah.

"Saya harap konvensyen PH Kedah beri tumpuan kepada kerjasama, bukan perkara lain seperti kedudukan indvidu tertentu,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kerjasama itu tidak mampu dicapai, sukar untuk PH kekal sebagai kerajaan dalam tempoh lama.

“Buahkan fikiran yang bernas dan kukuhkan PH Kedah,” katanya.