SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berharap tiada tindakan dikenakan terhadap beberapa guru sekolah menengah di Kota Bharu, Kelantan yang membuat demonstrasi mendesak pengetua sekolah mereka ditukar.

Menurutnya, beliau dan Kementerian Pendidikan cakna dengan isu tersebut dan menasihatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberi peluang kepada guru-guru itu untuk bersuara, bukan terus mengambil tindakan.

Begitupun, Maszlee menasihatkan guru menggunakan saluran betul sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara dan bukannya dengan melakukan demonstrasi sebegitu.

"Bila sampai demo, maknanya isu itu serius dan saya akan pantau dengan lebih dekat. Orang tidak akan keluar lakukan perkara sebegitu (tunjuk perasaan) jika mereka tiada cara lain. Cuma saya berharap selepas ini tiada guru bila ada benda tidak puas hati, mereka tunjuk perasaan.

"Kalau hadapi masalah berkaitan guru besar dan sebagainya, pertama cuba selesaikan dengan cara satu keluarga dan kalau tak boleh juga, barulah bawa ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas program Bicara Minda, di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Demo minta tukar pengetua]

Mengulas berkenaan tindakan pihak berkaitan menukarkan pengetua terbabit ke sekolah lain, Maszlee berpendapat tindakan itu wajar diambil dan ia merupakan prosedur biasa.

"Pengetua itu dipindahkan untuk dijalankan siasatan terhadapnya. Pada saya, itu prosedur biasa. Beliau tidak boleh beroperasi dalam masa sama ramai yang protes kepadanya kerana siasatan perlu dilakukan.

"Cuma sekali lagi saya berharap janganlah ambil tindakan kepada guru terlibat tapi ini bukan signal kepada guru lain bila ada apa-apa hal boleh buat demo. Gunakan saluran yang ada," ujarnya.

Tambahnya, beliau bersedia berjumpa dengan mana-mana pihak khususnya yang terlibat dalam bidang pendidikan bagi membincangkan masalah mereka di pejabatnya.

"Kita akan sambut bila mereka datang pejabat. Kalau saya sibuk, pegawai-pegawai saya akan bantu mereka. Kami akan sambut siapa saja yang datang ke pejabat untuk berbincang," katanya.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan kumpulan guru sebuah sekolah menengah di Kota Bharu nekad mengangkat sepanduk mendesak pengetua mereka ditukarkan kerana mendakwa pengetua berkenaan memberi tekanan mental kepada warga sekolah.