SEMPORNA - Rakyat diingatkan supaya tidak memandang ringan keamanan dan kemakmuran yang negara dan mereka kecapi hari ini dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu gugat suasana itu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafei Apdal yang juga Naib Presiden Umno berkata rakyat perlu mensyukuri segala nikmat yang dikecapi mereka dalam suasana negara aman selama ini dengan berusaha mempertahankannya, kerana negara tidak mudah dipulihkan apabila berlaku kacau bilau.
"Saya berharap rakyat Malaysia di negara kita harus memelihara kesejahteraan dan keamanan di negara kita yang saya percaya bukan mudah untuk kita sampai ke tahap ini, dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum, pelbagai anutan agama yang terdapat di negara kita.
"Kita jangan ambil ringan kerana apabila sudah berlaku huru-hara, bukan mudah untuk memulihkannya. Kita lihat beberapa negara, bukan sahaja di Afrika tetapi juga di Timur Tengah, keadaannya terumbang-ambing. Untuk memulihkan keadaan itu kepada yang stabil apa lagi untuk membangunkan negara mereka bukan mudah. Ia perlu mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali kepada keadaan asal," katanya.
Beliau yang juga anggota parlimen Semporna berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat daerah Semporna di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.
Shafie berkata rakyat Malaysia, termasuk golongan muda, yang memiliki pelbagai latar belakang kaum dan agama perlu terus memupuk semangat perpaduan dan kesatuan dengan menerapkan sikap kesederhanaan dalam diri masing-masing dan pada masa yang sama menolak sikap melampau.
Katanya walaupun rakyat pelbagai kepercayaan di negara ini diberi kebebasan menyuarakan pandangan masing-masing termasuk melalui media alternatif dan laman sosial namun ia ada had dan harus didasari sikap pertanggungjawaban yang mengambil kira kepentingan umum.
"Saya nak menekankan di sini bahawa kita semua, bukan hanya media elektronik, cetak dan laman sosial, harus bertanggungjawab terhadap cetusan idea yang hendak kita ketengahkan. Kita harus mengambil kira rasa tanggungjawab untuk memastikan suasana aman, sejahtera dan tenteram di negara kita," katanya.
Mengenai pewujudan Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di negeri-negeri lain selain Perak, Shafie berkata perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mengenal pasti lokasi atau kawasan yang sesuai bagi tujuan itu. - Bernama
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





