KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah elemen insan dalam penjagaan kesihatan tidak boleh diabaikan walaupun perlu “melabur” dalam Kecerdasan Buatan (AI), dan dalam kecanggihan peranti dan teknologi lain yang membawa tranformasi sektor perubatan.

Baginda bertitah, walaupun kemajuan teknologi dapat memberi sumbangan besar kepada usaha mengukuh keupayaan teknikal para medik, aspek-aspek emosi dalam penjagaan kesihatan tidak dapat diambil alih dengan mudah oleh mesin.

"Kita tidak boleh mengabaikan elemen manusia dalam penjagaan kesihatan, dan perlu terus berusaha untuk membina kapasiti kita dalam bidang ini," titah baginda dalam ucaptama pada   Persidangan Masyarakat Antarabangsa bagi Kualiti dan Keselamatan dalam Penjagaan Kesihatan (ISQua), di sini.

Persidangan ke-35 itu yang bertemakan “Heads, Hearts and Hands - Weaving the Fabric of Quality and Safety” berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Titah Sultan Nazrin,  hubungan antara penyedia penjagaan kesihatan dan pesakit, dan bagaimana rawatan dilaksanakan, kini diiktiraf sebagai faktor utama dalam membentuk natijahl kesihatan.

Baginda bertitah, pengalaman dan keperluan pesakit kini semakin diberi penekanan dalam keseluruhan proses dengan komunikasi yang lebih efektif dilihat secara meluas sebagai salah satu aspek paling penting.

"Ini menyumbang kepada pembangunan melalui pendekatan yang sangat berbeza daripada  model tradisional pada masa lalu bagi penjagaan kesihatan.

Rawatan kini dilihat sebagai perkongsian antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan dengan pengurusan diri juga memainkan peranan penting," titah baginda.

Titah baginda, ini perlu dari segi pandangan dalam konteks etika kerana ia menyumbang kepada hasil yang lebih baik.

"Semakin banyak kajian menunjukkan bahawa penekanan kepada aspek-aspek emosi dalam penjagaan kesihatan akan membawa hasil yang lebih baik," titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin bertitah kemajuan teknologi itu sendiri merupakan elemen utama bagi peningkatan pemahaman terhadap aspek mental dan emosi, dan beberapa perkembangan semasa menggabungkan aspek teknologi tinggi dan rendah yang memberi impak besar.

"Tetapi trend ke arah penerapan nilai insan dalam penjagaan kesihatan melangkaui kemajuan teknologi. Hasil yang lebih baik diperoleh melalui kaedah bukan teknikal dalam konteks penglibatan lebih aktif oleh pesakit, dan komunikasi yang lebih efektif antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan.

Titah Sultan Nazrin, pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap peranan utama yang dimainkan oleh aspek-aspek ini  menunjukkan betapa pentingnya secara berterusan kalangan profesional dalam penjagaan kesihatan.

Ia Ijuga menunjukkan bahawa walaupun penggunaan AI dan peranti dapat memberi respon yang cepat pada masa depan yang akan menjelma dengan pantas, apa yang dikenali medik manusia masih mempunyai peranan untuk menyampaikan sentuhan insan yang penting ini,” titah baginda. -Bernama