PUTRAJAYA - Kecenderungan masyarakat termasuk ahli-ahli politik kebelakangan ini membicarakan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Sebagai warganegara Malaysia yang diberikan kebebasan mengamalkan agama masing-masing, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghina agama Islam yang merupakan agama Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamil Khir berkata, kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini mendakwa fatwa melarang penggunaan nama Allah tidak terpakai kepada bukan Islam di Pulau Pinang juga amat mengelirukan.

Beliau berkata, perlembagaan negeri telah menentukan ia adalah bidang kuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jamil Khir berkata, fatwa yang melarang masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah kepada sembahan mereka dikeluarkan menerusi proses undang-undang.

"Oleh kerana undang-undang yang dipakai untuk mengeluarkan fatwa itu adalah undang-undang negeri, maka ia adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan undang-undang diluluskan untuk menyekat dan mengawal penyebaran agama lain kepada penganut Islam,” katanya.

Jamil Khir berkata, larangan penggunaan nama Allah adalah suatu bentuk "sekatan dan kawalan" yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan patuh kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dan dalam konteks Pulau Pinang pandangan mufti perlu dipatuhi demi keharmonian rakyat, katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - "Generasi muda khususnya para siswazah di negara ini perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam mendepani kedatangan Revolusi Industri 4.0," kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
  • KUALA LUMPUR - Langkah mewajibkan penceramah Islam sama ada dari dalam atau luar negara mendapatkan tauliah bertujuan untuk mengelak berlakunya penyelewengan, selain menjaga hal-hal berkaitan sensitiviti masyarakat.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang baharu.
  • SEPANG - Malaysia yakin program prapelepasan jemaah haji di tempat berlepas yang dilaksanakan secara perintis tahun ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada musim haji akan datang berikutan kepercayaan kerajaan Arab Saudi terhadap kemampuan teknologi negara ini.
  • YAN - Sekolah-sekolah aliran agama persendirian di seluruh negara digalakkan menerapkan aspek kokurikulum khususnya sukan dalam kalangan pelajarnya sebagai nilai tambah sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.