KUALA LUMPUR - Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos dilaporkan menghilangkan diri dari tahanan di Hospital Ampang Puteri sebelum urusan dokumentasi jaminan mahkamah terhadap dirinya selesai, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, sebelum itu, Jamal menerima tiga pertuduhan dan pihak majistret telah menawarkan jamin sebanyak RM3,000 untuk setiap pertuduhan.

“(Datuk Seri) Jamal telah dituduh sebanyak tiga  pertuduhan hari ini di Hospital Ampang Puteri dan pihak Majistret telah menawarkan jamin RM3,000 untuk setiap kes.

“Sementara proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan petang tadi, Jamal telah meninggalkan kawasan hospital,” katanya kepada Sinar Harian.

Fadzil berkata, pihaknya akan mengesan dan menghubungi semula Jamal bagi menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah secepat seberapa segera.

“Beliau akan dihubungi semula untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah tersebut,” katanya.