SHAH ALAM - Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengaku terdapat unsur kecuaian dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggotanya yang bertugas ketika mengawasi Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang menghilangkan diri di Hospital Pakar Ampang Puteri, bulan lalu.

Mazlan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesilapan itu kerana Jamal sepatutnya melengkapkan proses pengurusan ikat jamin namun meninggalkan hospital dan dia tidak menyerah diri.

Bagaimanapun, Mazlan tidak mendedahkan jumlah pegawai dan anggota terlibat.

"Perkara itu biar kita siasat dahulu," katanya. ," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

Namun, beliau sehingga kini masih gagal dikesan dan dipercayai melarikan diri ke negara jiran.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya tak lari: Jamal]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis Indonesia bantu jejak Jamal]