KUALA LUMPUR- Kesesakan trafik adalah antara alasan yang diberi pembekal untuk menaikkan harga barang, terutama barangan keperluan harian di Lembah Klang menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut peniaga barangan basah yang ditemui Bernama hari ini, mahu tidak mahu mereka terpaksa mengenakan harga yang tinggi kepada pelanggan akibat tindakan pembekal terbabit.
Pembekal mendakwa mereka terpaksa mengeluarkan kos bahan api yang tinggi sebab lori tersangkut dalam kesesakan ketika menghantar bekalan ke pasar, kata Chan Mei Yin, seorang peniaga sayur di Pasar Chow Kit di sini.
Katanya pembekal juga mendakwa kesesakan jalan menyebabkan mereka terpaksa membayar upah lebih masa kepada pekerja dan pelbagai lagi sebagai mewajarkan perbuatan menaikkan harga sayuran.
Pemerhatian Bernama mendapati antara barangan yang naik harga antara 10 sen hingga 50 sen sekilo ialah halia, kunyit, lengkuas dan cili.
Seorang peniaga ayam di Pasar Borong Selayang, Salleh Mohd pula mendakwa ada segelintir peniaga ayam tidak bermoral mengubah suai alat timbang memandangkan harga produk itu dikawal kerajaan.
Ini kerana katanya keuntungan yang diperoleh berdasarkan harga kawalan itu tidak banyak, sekali gus mendorong peniaga tidak bertanggungjawab mencari cara lain untuk menipu pengguna.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan mengingatkan peniaga beragama Islam agar berniaga secara beretika agar tidak mengundang dosa.
Pengguna juga harus berhemah ketika berbelanja serta tidak membazir, katanya yang mengulas pemberian bonus kepada penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri.
Bagi sesetengah penjawat awam yang menerima bonus raya esok, mereka bercadang untuk menyimpan separuh daripada wang yang diterima dan hanya membelanjakan sebahagian kecil untuk sambutan Aidilfitri.
Anis Nasuha Anas Hakimi 32, berkata beliau tidak merancang untuk habiskan bonus itu kerana barangan raya tahun lepas masih boleh digunakan.
"Baju raya pun hanya sepasang untuk saya dan anak saya yang berumur tiga tahun. Saya memang dah bersedia dengan kenaikan harga, jadi saya akan berbelanja dengan bijak dan berjimat," katanya.
Bagi Azwan Shah Jusoh, 29, beliau merancang untuk memberi sebahagian daripada bonusnya kepada ibu bapanya memandangkan persiapan hari rayanya tahun ini sudah lama disediakan.
"Saya siapkan lebih awal sebelum bulan puasa bagi mengelak kesesakan di pusat membeli-belah. Saya pernah sekali, ketika baru mula bekerja dulu, saya beli saat akhir dan saya berhabis ribuan ringgit kerana semua menjadi keperluan sedangkan bukan semua barang perlu ditukar," katanya. -Bernama




