SIK - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menerusi Jawatankuasa Kerohanian, Kebajikan dan Sahsiah (Jakkas) menganjurkan Program Amal Jariah bagi menyantuni 60 asnaf di dua daerah di Kedah dan Perlis.

Pengarah Eksekutif Mida merangkap Pengerusi Jakkas, Mohd Zulkafli Ismail berkata program tanggungjawab sosial korporat yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam sehingga esok membabitkan 40 warga Mida dari Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Program tahunan Jakkas/Mida yang memasuki tahun ke-16 ini memberikan peluang kepada warga MIDA yang beragama Islam untuk mendampingi masyarakat luar bandar, khususnya golongan miskin, orang kurang upaya, warga emas, ibu/bapa tunggal dan anak-anak yatim.

"Program ini mula dilaksanakan pada 2002 di Sik dan hari ini kita mengulangi sejarah apabila kembali menyantuni golongan yang memerlukan di daerah ini bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Namek dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah MIDA Kedah/Perlis, Mohd Harun Elik dan Ketua Bahagian Tarif Mida, Hazli Jemaat.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 50 keluarga di Sik membabitkan beberapa buah kampung di Nami, Jeneri dan Telaga Batu, serta 10 keluarga di Kangar, Perlis, akan menerima bantuan berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, kuih raya dan wang tunai RM500.

"Sumbangan akan disampaikan dari rumah ke rumah dan penerima ini kita pilih berdasarkan senarai yang diperolehi daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).

"Program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi menyantuni lebih ramai golongan yang memerlukan. Jika pada tahun lalu kita mengadakan program bersama masyarakat di Jelebu, Negeri Sembilan, tahun ini di Kedah dan Perlis dan tahun depan di lokasi berbeza pula," katanya.

Terdahulu, Mohd Zulkafli turut mengagihkan bubur lambuk kepada kira-kira 250 penduduk di sekitar Kampung Namek selain turut menyampaikan sumbangan moreh kepada 150 penduduk. - Bernama