SHAH ALAM - Walaupun berbeza pendapat, etika dan tertib dalam pertuturan mestilah dijaga.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata demikian di laman sosial Twitternya susulan kekecohan yang berlaku dalam majlis dialog bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, hari ini.

Beliau kesal dengan tindakan segelintir pemandu teksi yang kurang sopan dan kasar terhadap Dr Mahathir.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku walaupun berbeza pendapat.

"Kita boleh berbeda pandangan tetapi mestilah beretika dan tertib dalam pertuturan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mempertahankan ketegasan Dr Mahathir yang dianggap sebagai kebijaksanaan dalam memikul amanah rakyat.

"Saya menghormati kepimpinan Dr Mahathir yang bersedia untuk bersemuka dan berdialog dengan rakyat, mendengar rintihan dan memimpin untuk mencari penyelesaian yang terbaik.

"Kesediaan untuk mendengar adalah ciri-ciri pemimpin yang wibawa," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Tun M kecoh diganggu pemandu teksi biadab]

Majlis itu dicemari insiden kecoh seketika apabila beberapa orang pemandu teksi bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Kira-kira 10 orang pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat, sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata, beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Kekecohan itu reda kira-kira dua minit kemudian dan susulan itu, Dr Mahathir berkata, beliau sebagai perdana menteri hanya cuba untuk membantu golongan pemandu teksi untuk memulihkan kembali pendapatan mereka.