PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara telah menerima kertas siasatan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam satu kenyataan, Thomas berkata Jabatan Peguam Negara memerlukan masa untuk mengkaji kertas siasatan tersebut tetapi menghargai tindakan segera dan sensitiviti tugasnya.

“Untuk melaksanakan tugas kami dengan efektif, saya telah melantik satu pasukan untuk mengkaji kertas itu dengan tujuan untuk kemungkinan memulakan pendakwaan jenayah dan satu lagi untuk mengkaji memulakan prosiding sivil,” kata beliau.

Beliau berkata anggota kedua-dua pasukan terdiri daripada timbalan pendakwa raya dan peguam kanan persekutuan berpengalaman yang akan melaporkan terus kepada beliau.

Thomas juga berkata beliau baru sdahaja permohonan Bantuan Perundangan Bersama  dari Switzerland, Amerika Syarikat, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu dan berharap mendapat bantuan dan menjalin kerjasama dengan mereka. - Bernama